KUALA TERENGGGANU 27 Sept. – Seorang ibu tunggal dihukum penjara enam bulan dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri pada 17 September lalu.
Hakim Rosdi Harun turut memerintahkan hukuman sebat terhadap wanita berusia 30 tahun itu dilaksanakan di penjara tempat tertuduh ditahan.
Katanya, hukuman itu akan dilaksanakan selepas tempoh 14 hari sekiranya tiada rayuan daripada tertuduh.
Tertuduh yang berbaju kurung dan tudung biru bagaimanapun, hanya bersahaja di kandang tertuduh ketika mendengar keputusan yang diumumkan kira-kira pukul 10.55 pagi itu.
Hakim Syarie ketika membacakan pertuduhan turut menyatakan kekecewaannya terhadap sikap ibu tunggal kepada seorang anak perempuan berusia tujuh tahun itu yang tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda keinsafan sepanjang prosiding dijalankan.
Terdahulu prosiding hari ini bermula pukul 9.51 pagi dengan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah memberi penerangan terperinci mengenai bidang kuasa mahkamah itu di samping berulang kali memberi peringatan tentang undang-undang syariah yang tidak boleh disamakan dengan sivil.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pencanting batik sambilan itu didakwa melakukan kesalahan itu di hotel di bandar raya bersama seorang pelanggan pada 17 September antara 11.20 malam hingga 11.45 malam.
Pendakwaan dilakukan oleh Pendakwa Syarie Terengganu, Mohd. Kahzmizan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan dalam serbuan penguat kuasa syariah daerah di bilik hotel berkenaan dan melakukan rampasan terhadap 11 barangan yang disahkan milik wanita itu termasuk kondom, minyak pelincir, coli dan seluar dalam.
Difahamkan, tertuduh juga menerima bayaran RM100 daripada pelanggan untuk melakukan perbuatan itu pada hari sama ketika ditahan.
Dalam prosiding sebelum ini, tertuduh mengakui terpaksa melakukan perbuatan itu kerana memerlukan wang untuk menyara kehidupannya dan anak perempuan berusia yang dijaga oleh kakaknya di Klang, Selangor bagi menjawab persoalan yang diajukan oleh Hakim Syarie. – UTUSAN ONLINE










