SETELAH dua tahun berada di negara ini sebagai Duta Belanda ke Malaysia, Karin Mossenlechner menyifatkan Malaysia cukup istimewa berbanding negara-negara lain di dunia terutamanya tentang bagaimana masyarakatnya meraikan pertembungan budaya.
“Sepanjang di negara ini, saya menghadiri pelbagai sambutan perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baharu Cina dan macam-macam lagi.
“Meskipun Malaysia adalah sebuah negara yang maju, rakyatnya masih mengekalkan budaya dan adat masing-masing, menjadikan negara ini sangat istimewa dan saya rasa sangat ‘dekat’ dengan rakyatnya,” kata beliau dalam satu temu bual di Kuala Lumpur.
Selain keistimewaan yang dimiliki Malaysia, Karin berkata, kedua-dua negara juga mempunyai persamaan kerana menjadi ‘pintu masuk ke rantau masing-masing’ dari segi kedudukan geografi.
Beliau mengharapkan persamaan yang ada itu dimanfaatkan secara bersama melalui ikatan ekonomi yang lebih kukuh dan sistematik.
Karin berkata, kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua negara bukan sahaja menguntungkan ekonomi masing-masing tetapi juga mengukuhkan hubungan dua hala.
“Malaysia merupakan antara negara yang mesra pelabur luar dan mudah untuk kami membuka perniagaan di sini. Malah kedudukan geografinya yang terletak di tengah-tengah rantau ASEAN sangat sesuai untuk perdagangan.
“Begitu juga dengan Belanda yang mempunyai fungsi sama untuk pasaran Eropah. Sekiranya Malaysia dan Belanda mempunyai satu struktur ekonomi yang sistematik, saya percaya dua negara ini dapat memainkan peranan utama dalam mengembangkan ekonomi negara di rantau masing-masing,” katanya.
Sebenarnya, syarikat-syarikat Belanda bukan asing di Malaysia apabila terdapat lebih 150 syarikat yang kini bertapak di negara ini termasuk syarikat minyak terkenal, Shell dan syarikat pembuatan kasut, Bata.
Syarikat-syarikat berkenaan turut memainkan peranan masing-masing sama ada secara langsung atau sebaliknya dalam memajukan negara ini.
Karin berkata: “Eksport Malaysia ke Belanda pada tahun lalu bernilai 6.7 bilion euro manakala eksport Belanda ke Malaysia pula bernilai 1.4 bilion euro.
“Saya percaya hubungan ekonomi kita perlu dikembangkan termasuk juga dalam bidang pelaburan. Saya berharap dapat membawa masuk syarikat-syarikat Malaysia ke pasaran Belanda untuk menerokai peluang-peluang di sana,” katanya.
Karin berkata, Malaysia dan Belanda perlu melupakan ‘sejarah’ masing-masing dan melihat peluang-peluang lebih luas yang ditawarkan negara-negara lain.
“Berdasarkan sejarah, kita tahu Malaysia biasanya cenderung untuk melabur di United Kingdom (UK) manakala Belanda cenderung untuk melabur dengan Indonesia. Keadaan ini perlu berubah kerana Malaysia dan Belanda mempunyai banyak potensi bersama,” katanya.
Tambah beliau, masih banyak sektor yang belum diterokai untuk kerjasama kedua-dua negara setakat ini.
“Antaranya dalam bidang agrikultur yang kini berkembang dengan pesat di Belanda. Kami kini menjadi negara kedua terbesar dalam pasaran eksport dunia selepas Amerika Syarikat (AS) meskipun kami hanya negara yang kecil.
“Ini melambangkan bahawa tidak kira negara kita kecil atau besar, sekiranya kita tahu bagaimana cara yang betul untuk menghasilkan produk agrikultur, ia boleh berkembang pesat. Lebih-lebih lagi Malaysia merupakan negara yang kaya dengan hasil tanahnya.
“Belanda banyak melakukan penyelidikan dalam bidang agrikultur dan kami juga mempunyai satu universiti khas dalam bidang ini. Sekiranya kita dapat berkongsi kepakaran ini dengan Malaysia, saya percaya Malaysia juga boleh menjadi seperti kami,” katanya.
Selain bidang agrikultur, terdapat banyak bidang lain yang boleh diterokai untuk kerjasama bersama dua negara ini termasuk dalam bidang pengurusan banjir.
“Kami mempunyai kepakaran dan kecanggihan teknologi dalam bidang pengurusan banjir yang mana masalah ini juga sering berlaku di Malaysia.
“Selain pengurusan banjir, bidang kelestarian alam sekitar juga merupakan antara bidang yang boleh diterokai bersama contohnya tenaga boleh diperbaharui, pengurusan sisa pepejal dan bahan-bahan boleh urai (biodegradable) dan banyak lagi,” katanya.
Selain perpaduan yang kukuh dalam masyarakat berbilang kaumnya, Duta Belanda itu menyifatkan Malaysia turut memperlihatkan kestabilan politiknya.
Sepanjang tempoh berkhidmat di negara ini, pengalaman yang paling manis adalah pengalaman menyaksikan sendiri pertukaran kerajaan dalam pilihan raya umum yang lalu.
“Ini pertama kali Malaysia menukar kerajaan setelah lebih 60 tahun jadi saya bangga kerana dapat menyaksikannya sendiri. Malah pertukaran kuasa juga terjadi dalam suasana sangat damai dan ini melambangkan Malaysia mempunyai masa depan yang sangat cerah.
“Ini juga melambangkan bahawa sistem demokrasi di Malaysia ‘hidup’ dan rakyat bebas memilih kerajaan mereka serta tidak dinafikan hak mereka untuk mengundi,” katanya.
Beliau juga menyatakan keterujaaannya tentang apa yang mampu ditawarkan negara ini dalam bidang pelancongan setelah melawat negeri-negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
“Suasana di Sabah dan Sarawak sangat berbeza dengan Kuala Lumpur. Saya sempat melawat ke perkampungan orang asli di sana dan merasai sendiri cara kehidupan seharian mereka.
“Melihat orang asli yang masih tinggal di rumah panjang, menjalani kehidupan yang sangat sederhana pada zaman ini, ia sangat mengagumkan.
“Keindahan hutan di Sabah dan Sarawak tidak boleh dipertikaikan. Saya berharap saya dapat berkunjung ke sana lagi dalam masa terdekat,” kata beliau lagi.









