[VIDEO] Azrul Izwan: Graduan grafik buat pusingan dalam industri fesyen - Utusan Malaysia

[VIDEO] Azrul Izwan: Graduan grafik buat pusingan dalam industri fesyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Sebagai hambaNYA, manusia hanya mampu merancang namun sebaik-baik perancang ialah Allah. Oleh itu, apabila anak muda bernama Azrul Izwan Ibrahim, 28, menamatkan pengajiannya dalam jurusan grafik, rekaletak dan multimedia, rezeki beliau adalah sebagai pereka fesyen di Butik Cindai.

Jujur Azrul Izwan atau lebih mesra dengan panggilan Izwan memberitahu, beliau amat meminati dunia fesyen, lebih-lebih lagi membesar dengan kakak-kakak, beliau suka melihat kakak-kakanya berfesyen.

“Saya menjadikan kakak-kakak sebagai ‘model’ untuk saya pakaikan fesyen yang sesuai dengan sosok tubuh mereka. Dari situ, saya menajamkan pengamatan saya dalam dunia fesyen kerana dalam darah ini sudah mengalir bidang seni rekaan pakaian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hari ini, saya melangkah setapak demi setakap untuk menjadi pereka fesyen yang boleh diterima khalayak dan platform terbaik untuk saya melakarkan apa yang bermain di dalam minda saya ialah di Butik Cindai,” katanya kepada wartawan Utusan Online.

JENAMA CINDAI
 

Menurut anak kelahiran negeri jelapang padi ini, arwah ibunya pandai menjahit telekung dan beliau mewarisi kepandaian menjahit dan dalam masa yang sama, mendekatkan diri dengan berjinak-jinak dalam mana-mana exhibition fesyen.

Katanya lagi, rekaan sulung yang dilahirkannya ialah baju untuk majlis perkahwinan yang perlu dihadiri oleh salah seorang kakaknya yang juga merupakan pemilik Butik Cindai.

“Kalau diingat kembali saat tu, memang melucukan kerana saya tidak puas hati dengan pemilihan pakaian kakak saya. Jadi, untuk pergi ke majlis-majlis rasmi, seseorang itu biarlah berfesyen.

“Saya lakukan transformasi fesyen ke atas kakak saya, daripada memakai jubah kepada dress yang bersesuaian dan kena dengan imejnya yang bertudung. Lazimnya saya mengambil masa seminggu untuk memikirkan fesyen yang bersesuaian.

“Apabila saya gabungkan dua elemen iaitu grafik dan gaya, pada pandangan mata kasar saya, ada style dan bermula dari saat itulah, Butik Cindai yang membawa jenama Cindai, menjual pakaian wanita dan lelaki rekaan saya,” katanya.

Sebagai orang baharu dalam dunia rekaan fesyen dan sekaligus melangkah masuk ke dalam industri fesyen Malaysia, apabila melihat pelanggan memakai pakaian jenama Cindai rekaannya, itu memberi kepuasan bagi dirinya.

Tidak mahu berterusan duduk dalam zon selesa, Izwan memberitahu, beliau masih terus menuntut ilmu fesyen daripada ikon pereka fesyen negara, Bill Keith.

“Peluang diberikan oleh Bill Keith kepada Butik Cindai apabila kami menyertai Asian Designer Guild (ADG) yang mana beliau banyak membantu dan mengajar saya. Beliau berkongsi ilmu dengan saya dan apa yang saya hasilkan nanti adalah fesyen yang berbeza.

“Fesyen rekaan yang dihasilkan adalah versatile dan stylish agar rakyat Malaysia bangga apabila memakai fesyen jenama Cindai,” kata Izwan sambil menambah, Cindai mementingkan kualiti dan menjual identiti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini