PUTRAJAYA – Majikan mana-mana syarikat yang gagal membayar pampasan kepada pekerja yang diberhentikan kerja dalam tempoh 30 hari boleh berdepan tindakan undang-undang.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan boleh dikenakan termasuk denda maksimum RM10,000 setiap kes mengikut Akta Pekerjaan 1955.
“Kalau ikutkan peraturan dalam tempoh 30 hari (jelaskan pampasan), kalau dia bayar terlalu lama secara beransur-ansur itu satu kesalahan dan boleh diambil tindakan,” katanya bagi mengulas mengenai nasib 800 pekerja syarikat Utusan Melayu (M) Berhad yang ditawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) minggu lalu.
Beliau mengulas kenyataan NUJ syarikat itu dalam minggu lepas mendakwa syarikat itu bersetuju membayar pampasan secara ansuran selama setahun kepada kesemua kakitangan yang akan ditamatkan pekerjaan.
Terdahulu beliau hadir merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH) 2018 yang turut dihadiri Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Tye di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) tadi.
Dalam perkembangan sama, beliau menggesa pekerja yang ditawarkan VSS supaya tampil mengemukakan aduan rasmi kepada kementerian itu untuk memboleh proses siasatan dan sebagainya dijalankan. – K! ONLINE










