KUASA mendakwa Peguam Negara selaku Pendakwa Raya tidak boleh diambil oleh mana-mana agensi penguat kuasa. Tindakan yang diambil tanpa merujuk Pendakwa Raya akan menyebabkan pertuduhan tersebut dibatalkan.
Antara kes yang jelas menyebut perkara ini adalah membabitkan Repco Holdings Bhd. pada 1997 apabila mahkamah memutuskan Seksyen 126 (2) Akta Industri Sekuriti 1983 tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan kerana memberikan kuasa mendakwa kepada Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Sebab itu di negara ini, agensi mana sekali pun tidak mempunyai kuasa pendakwaan sendiri termasuk bertaraf suruhanjaya seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Justeru, lama sebelum pertuduhan rasuah membabitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ditarik balik Pejabat Peguam Negara kelmarin yang turut membuatkan SPRM berasa amat terkejut, mahkamah telah memutuskan dengan jelas perkara ini.
Malah keputusan untuk mendakwa atau tidak seseorang adalah kuasa mutlak Peguam Negara. Ini berdasarkan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan kuasa ini tidak boleh disangkal.
Kuasa tersebut turut merangkumi menghentikan apa-apa prosiding bagi kesalahan di mahkamah. Budi bicara itu diberikan kepada Peguam Negara selaku Pendakwa Raya oleh undang-undang tertinggi negara. Atas dasar tersebut, ia mengikat termasuk mahkamah.
Antara kes berkenaan adalah Long bin Samat lawan Pendakwa Raya pada 1974 yang menyaksikan Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan bahawa kuasa dimiliki Peguam Negara dalam memulakan, menjalankan atau menghentikan pendakwaan jenayah tidak boleh dipersoalkan mahkamah.
Maka sudah terang lagi bersuluh, keputusan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan ke atas Guan Eng tidak boleh dicabar termasuk di mahkamah sama seperti keputusan Peguam Negara terdahulu untuk tidak mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau menjadi Perdana Menteri walaupun dipertikai Majlis Peguam.
Cuma, penjelasan di sebalik tindakan menarik balik pertuduhan ke atas Guan Eng sangat penting. Memandangkan kes ini melibatkan kepentingan umum, maka penjelasan haruslah padu seperti dikehendaki ramai termasuk beberapa pemimpin kanan PKR.
Ini seperti prinsip undang-undang Inggeris yang terkenal, ‘keadilan bukan hanya dilaksanakan bahkan mesti dirasai dilaksanakan’. Jika penjelasan semalam dirasai konkrit, ia harus menutup ruang kesangsian tetapi jika tidak, usahlah terkejut.
Sebaiknya, ramai merasakan Peguam Negara, Tommy Thomas sendiri perlu tampil memberikan penjelasan.











