KUALA LUMPUR 24 Sept. – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) muncul pemenang terbesar Anugerah Tokoh Siswa 2017 apabila berjaya menggondol lima anugerah daripada 15 kategori yang dipertandingkan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, kejayaan manis tersebut membuktikan kemampuan UPSI melahirkan mahasiswa berkualiti dan ia lahir hasil dorongan dan pengorbanan seluruh warga universiti tersebut.
“Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran juga menyifatkan kejayaan ini sebagai catatan bersejarah buat UPSI yang julung-julung kali memenangi lima kategori utama, jauh meninggalkan universiti awam lain.
“Beliau percaya slogan UPSI Universiti Nombor Satu Pendidikan telah mendorong semangat para pelajar ini untuk menjadi pemimpin pelajar yang cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Lima pelajar UPSI yang berjaya membawa pulang anugerah ialah Kevin Tan bagi kategori Pemimpin Fakulti/Persatuan/Kelab; Mohd. Wafiy Mohammad Taufik (Pemimpin Kolej Kediaman); Farah Afifah Ahmad Suhaimi (Pemimpin Program Sukan); Mohammad Fakhrullah Farrok (Pemimpin Program Kebudayaan) dan Mohammad Izzuddin Zakaria (Pemimpin Program Keusahawanan).
Majlis penyampaian anugerah yang diadakan di Universiti Malaysia Perlis (Unimap), kelmarin itu turut dihadiri Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir. – UTUSAN ONLINE










