KUALA NERUS – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi percaya, jalinan kerjasama antara UMNO dan Pas adalah jujur atas persefahaman dalam menegakkan syiar Islam dan senario politik baharu yang memerlukan kedua-dua parti untuk bersama.
Presiden UMNO itu berkata, jalinan kerjasama ketika ini tidak ke arah kepada tahaluf siyasi tetapi lebih kepada memberi kekuatan sebagai gagasan kem parti pembangkang pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Kalau diteliti, kita harus membaca apa yang tersirat. Bukan hanya yang tersurat sahaja. Saya fikir kepimpinan PAS ikhlas walaupun tidak disebutkan secara spesifik.
“Tetapi orang politik faham apa yang disebut dan cuba disampaikan mengenai jalinan kerjasama tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Muktamar Tahunan Pas ke-64 yang dirasmikan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di sini hari ini.
Ahmad Zahid ditanya mengenai ucaptama Abdul Hadi sewaktu perasmian itu yang tidak menyebut secara langsung bentuk kerjasama antara kedua-dua parti yang memperjuangkan agama Islam dan kaum Melayu itu. – Bernama










