KUALA LUMPUR 28 Sept. – UMNO masih kukuh dan tidak akan hancur kerana merupakan antara parti terbesar di negara iini dan masih mendapat kepercayaan orang Melayu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walapun Barisan Nasional (BN) kecundang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tetapi UMNO masih memenangi kerusi Parlimen terbanyak bagi sesebuah parti.
“Sejarah telah memperlihatkan bahawa pencapaian tertinggi parti-parti yang bergelar pembangkang kepada Kerajaan BN sebelum ini dengan PKR hanya 31 kerusi Parlimen, DAP (38) dan PAS (23) tetapi UMNO sebagai pembangkang dengan jumlah 54 kerusi selepas PRU14 walaupun sehingga hari ini tinggal 49 kerusi tapi masih satu parti terbesar dalam Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed semalam yang membayangkan UMNO kini menuju kehancuran.
Ismail Sabri berkata, orang Melayu masih mempercayai UMNO dan kini meragui kemampuan kerajaan Pakatan Harapan.
“Ini jelas bahawa orang Melayu masih mempercayai UMNO.Saya cukup yakin dengan kepemimpinan baru ini, hala tuju baru serta semangat baru parti daripada peringkat tertinggi hingga ke cawangan akan bangkit kembali. Lebih-lebih lagi orang Melayu sudah mula meragui kemampuan kerajaan hari ini menjaga kepentingan dan hak orang Melayu dan islam. – UTUSAN ONLINE










