Tutup kisah warlord, 
hidupkan khidmat bakti - Utusan Malaysia

Tutup kisah warlord, 
hidupkan khidmat bakti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

KHABAR yang hinggap ke telinga Utusan Malaysia sehari dua ini bertiup sungguh kencang – akan ada lagi seorang dua pemimpin kanan UMNO yang bakal ‘menyeberang’ ke Pakatan Harapan khususnya parti Bersatu.

MOHAMED KHALED NORDIN
MOHAMED KHALED NORDIN 

Sementara kita tunggu dan lihat babak-babak ini, perhimpunan Agung UMNO yang pertama kali dilangsungkan di bawah Presiden baharunya hujung bulan ini tentunya dinantikan semua. Ini sehinggakan akan diperhati, masih ramaikah yang ‘bersidai’ di lobi dan pekarangan Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur? Ruang legar di luar Dewan Merdeka nanti penuh sesakkah dengan orang ramai?

Barangkali itu semua tidak akan terjadi. Dengarnya, mana-mana perwakilan yang tinggal dekat dengan Pusat Dagangan Dunia Putra khususnya dari Selangor dan Negeri Sembilan akan ‘balik hari’ saja pada 29 dan 30 September ini. Tak disediakan penginapan.

Tak apalah, asalkan hadir. Kena realistiklah. Berpijak di bumi nyata. UMNO kini bukan parti pemerintah. Dan liputan media juga mungkin tidak seghairah dulu.

Berikut dicoretkan sekilas topik-topik yang barangkali harus diambil perhatian dalam perhimpunan agung UMNO kali ini:
 

1 Ketua bahagian bukan lesen jadi ‘calon pilihan raya’

-Tak habis-habis ke penguasaan warlord dalam parti ini? Parti yang mana satu? Kalau sebut warlord, tidak ada lain lagi dah, istilah itu hinggap pada UMNO. Andai masih ada lagi dominasi warlord yang dengar kata masih bersarang semasa pemilihan UMNO tempoh hari, nampaknya perhimpunan agung parti hujung bulan ini mesti buat sesuatu.

Setelah UMNO tumbang 9 Mei lalu, memasuki lima bulan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nampaknya ‘masih ada yang tidak serik-serik’. Maka di Pusat Dagangan Dunia Putra nanti, UMNO mesti buat ketetapan.

SHAHRIR ABDUL SAMAD
SHAHRIR ABDUL SAMAD 

Buat permulaan ‘mengekangnya’, disyorkan agar ketua-ketua bahagian tidak semestinya dipilih calon PRU-15.

Kalau disingkap percaturan PRU-14 lalu di Johor misalnya, daripada 26 ketua bahagian, hanya dua tidak bertanding kerusi Parlimen – Datuk Puad Zarkashi (Batu Pahat) dan Datuk Baharum Mohammad (Sekijang). Ramainya bertanding!

Dari 23 ketua UMNO bahagian yang menjadi calon pula, menangnya hanya empat – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Dr. Adham Baba, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad dan Datuk Seri Azalina Othman Said. Datuk Ahmad Maslan yang menang di Pontian pula timbalan ketua bahagian di situ.

Untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, daripada 56 kerusi, UMNO menang 14 – empat ketua bahagian, sementara lainnya bercampur-campur daripada timbalan ketua bahagian, naibnya, ketua wanita, ketua pemuda dan ketua puteri.

Maka, perlu ada mekanisme untuk letakkan calon pilihan raya akan datang supaya diterima ramai. Jangan jadi macam di Selangor dahulu – ada warlord yang belum masuk gelanggang di Serdang pun sudah diketahui tersungkur.

2 Masih tunggu arahan?

-Dengan belum ada tindak balas tentang hala tuju daripada pucuk pimpinan, akhbar ini dimaklumkan ketua-ketua bahagian masih lagi menunggu arahan yang ‘tidak kunjung tiba’. Ini sehinggakan sayap-sayap Pemuda dan Puteri terawang-awang. Masih menanti keputusan ketua bahagian.

Di Johor, akhbar ini difahamkan, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, 68, selepas sahaja kalah di Johor Bahru Rabu 9 Mei lepas, keesokannya 10 haribulan, kelibatnya sudah terpacul di pasar Larkin. Begitu juga bekas menteri besarnya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Meskipun tewas dua kerusi sekali gus, masih turun padang mengusung khidmat bakti parti.

Sepatutnya sayap-sayap parti berserta bahagian dan cawangannya sudah tahu peranan masing-masing.

Parti di sebelah sana ada ketikanya memiliki ranting dan cabang untuk sekadar ‘hiasan’, tapi tidak UMNO yang mempunyai 3.6 juta ahli, 191 bahagian dan 22,000 cawangan.

Maka, setiap ketua bahagian bantulah pengerusi perhubungan negeri masing-masing mantapkan kembali parti. Kalau di Johor, jenguk-jenguklah pengerusi perhubungannya, Datuk Ir. Hasni Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian untuk mengembalikan maruah negeri tempat UMNO dilahirkan itu.

3 Khidmat bakti masih perjuangan tulen

– Walaupun bukan lagi parti tonggak kerajaan, UMNO harus terus menggerakkan usaha membantu masyarakat terutama peringkat akar umbi. Jangan berharap kepada sesiapa. Sekali lagi kalau diambil contoh di Johor semasa Batu Pahat dilanda banjir pertengahan bulan ini, tidak begitu lancar persiapan pihak berkuasa negeri menanganinya. Ini sehinggakan akhbar ini difahamkan, Sultan sendiri membuat teguran selepas mencemar duli melawat mangsa banjir di penempatan sementara. Program khidmat bakti UMNO perlu dihidupkan kembali pasca PRU-14 ini.

4 Cukup sekadar persefahaman dengan Pas?

– Kesepakatan dua parti Melayu terbesar, UMNO-Pas yang dicapai sebulan dua ini diakui menjadikan Pakatan Harapan agak cuak. Cuma akhbar ini turut didatangi luahan daripada ahli UMNO akar umbi. Kata mereka, kerjasama UMNO dengan Pas tidak perlulah sehingga perlu diwujudkan satu gabungan. Biarlah masih ada hadnya dengan pegangan ideologi masing-masing tetapi ketetapan dimuktamadkan dalam memperjuangkan Melayu dan Islam.

Setiap negeri latar belakangnya berbeza. Di Johor, kehadiran Pas tidak begitu mendasari ke akar umbi berbanding cabaran parti Amanah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN