KUALA LUMPUR – Tune Plato Ventures Sdn. Bhd. (Tune Plato) kini memiliki 50 peratus pegangan dalam SubHome Management Sdn. Bhd. (SubHome) yang merupakan peneraju dalam sektor perkongsian rumah di Malaysia.
Tune Plato merupakan syarikat usaha sama Tune Group Sdn. Bhd. (Tune) dan ECM Libra Financial Group Sdn. Bhd. (ECM Libra).
Pengasas Bersama Tune, Tan Sri Dr. Tony Fernandes berkata, syarikat melabur dalam pelbagai cabang perniagaan yang merangsang potensi terbaik dan memberi sinergi terhadap portfolio Tune.
“Platform perkongsian rumah ini menawarkan rangkaian alternatif kepada pemilik rumah dan pemaju hartanah dalam pengewangan hartanah mereka selain memberi nilai tambah terhadap pengalaman penginapan kepada pelancong dan tetamu setia hotel Tune.
“Sinergi ini sekali gus dapat menawarkan keselesaan kepada tetamu yang menginap dalam tempoh lama dan keluarga besar dengan kemudahan bilik yang mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pengumuman pelaburan dan pelancaran Robertson Premier Suites by SubHome di sini semalam.
Turut hadir Pengarah Urusan ECM Libra, Lim Kian Onn; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tune Hotel, Mark Lankester, Pengasas dan CEO SubHome, Sandeep Singh Grewal.
SubHome merupakan syarikat yang menguruskan serta memasarkan portfolio rumah sewa dan menawarkan perkhidmatan seakan-akan hotel sebagai alternatif kepada mereka yang ingin melancong atau bagi tujuan trip perniagaan.
Perniagaan SubHome adalah berasaskan mekanisma perkongsian keuntungan antara syarikat dengan pemilik rumah.
Selain itu, Sandeep menjelaskan, platform perkongsian rumah itu mengunjurkan peningkatan kepada 3,000 unit penginapan di bawah kendaliannya menjelang akhir tahun hadapan berbanding sebanyak 417 unit ketika ini.
“Selain di Kuala Lumpur dan Johor Bahru, Johor, kami merancang untuk mengembangkan platform ini ke beberapa lokasi berpotensi lain khususnya yang mempunyai tarikan perniagaan termasuk di Petaling Jaya, Selangor, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.
Kos penginapan yang ditawarkan ialah kira-kira RM250 sehari dan semua unit di bawah SubHome mempunyai keluasan sekurang-kurangnya 46.5 meter persegi.
Ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk dapur, televisyen pintar, sambungan internet selain perkhidmatan mengemas serta kaunter penyambut tetamu.











