SEPASANG tangan Syarifah Artini Ajmain, 35, cermat menyisip satu persatu daun serdang menggunakan jarum dan tali rafia ke dalam sebuah kerangka buluh sehingga ia menjadi bentuk seakan-akan kubah yang dipanggil tudung duang atau tudung saji oleh masyarakat Bajau.
Daun serdang yang mempunyai struktur seperti daun kelapa tetapi lebih panjang, lebar dan keras itu dicelup pewarna rona terang yang dipesan khas dari Terengganu seperti hijau, kuning, ungu, merah jambu dan hitam sebelum disemat secara berselang-seli.
Ibu kepada tiga cahaya mata empat bulan hingga enam tahun itu akan mengambil sendiri tumbuhan tersebut di hutan yang lazimnya hidup meliar di tepi sungai terletak tidak jauh dari rumahnya di Kampung Pangkalan Abai, Kota Belud, Sabah.
Ia kemudiannya akan direbus selama dua hingga tiga jam pada waktu malam sebelum dijemur seharian sehingga kering pada keesokan paginya.
Pokok serdang atau nama saintifiknya Livistona saribus merupakan spesies pokok palma yang boleh mencapai ketinggian seperti pokok kelapa dengan bahagian pelepah daunnya mempunyai duri.
“Saya akan kait daun tersebut menggunakan sabit. Jika ia terlalu tinggi kami terpaksa panjat pokok tersebut untuk mengambil daunnya. Bahagian yang diperlukan ialah pucuk muda yang daunnya masih belum terbuka. Ada ketikanya saya beli bekalan daun daripada pembekal pada harga RM20 sekilogram.
“Jika tidak sibuk dengan rutin menguruskan rumah tangga seperti mengemas, memasak dan menyusukan anak, saya boleh duduk menganyam berjam-jam lamanya,” kongsi Syarifah Artini ketika ditemui Kosmo! di kediamannya sempena lawatan Kraf Kampungku anjuran Kraftangan Malaysia baru-baru ini.
Dalam hal ini seni kraf serdang diangkat sebagai satu daripada produk signatur projek Kraf Kampungku di bawah Program Satu Daerah Satu Industri yang bertujuan meningkatkan pengeluaran dan pemasaran pengusaha tempatan.
Pantang
Syarifah Artini bercerita, dia mula belajar menganyam pada usia 14 tahun daripada ibunya, Ida Jilang, 73, yang mewarisi kemahiran menganyam serdang sejak turun-temurun dari nenek moyangnya.
Dua adik-beradiknya yang lain turut diajar menganyam namun tidak mempraktikkannya kerana masing-masing mempunyai pekerjaan tetap dan seorang lagi sedang menyambung pengajian di Kuala Lumpur.
“Waktu terbaik untuk menganyam ialah pada sebelah pagi atau malam kerana daunnya akan menjadi lembut dan tidak mudah patah. Ia juga tidak boleh dilangkah kerana itu pantang yang kami amalkan sejak dahulu.
“Saya selalu mula menganyam seawal pukul 7 pagi hingga tengah hari. Jika tempahan banyak saya turut akan menganyam pada sebelah malam sehingga pukul 2 pagi,” kongsinya yang aktif menyertai pameran dan demonstrasi kraf di serata Malaysia.
Dalam sehari dia mampu menyiapkan lima biji tudung duang sebesar 36 sentimeter (sm) dan beberapa hari diperlukan untuk membuat tudung duang yang lebih besar.
Produk tersebut yang dijual pada harga serendah RM3 hingga RM300 mengikut saiz dengan pendapatan yang mampu diraih setiap bulan ialah sekitar RM2,000 hingga RM3,000.
Ia dijual di Pasar Tamu Kota Belud selain dipasarkan di Semenanjung dengan bantuan Kraftangan Malaysia. Baru-baru ini Syarifah Artini turut mempromosikan hasil tangannya melalui laman sosial Instagram.
Mengimbau kenangan lalu, jika tempahan banyak dia tidak akan ke sekolah demi membantu ibunya. Bagi anak kedua daripada tiga beradik itu upah sebanyak RM50 dalam tempoh dua minggu yang diterima sudah dikira lumayan pada masa tersebut.
Menurut Syarifah Artini, dahulu menjadi kemestian wanita etnik Bajau untuk menguasai seni anyaman serdang. Kini hanya kira-kira 15 orang yang dikenal pasti terlibat aktif dalam kegiatan tersebut dan memasarkan produk kraf serdang secara komersial.
Begitupun, setahu Syarifah Artini ada seorang penganyam lelaki dari desa berdekatan Kampung Pangkalan Abai iaitu Kampung Lingkodon yang turut berkecimpung dalam bidang itu. Selain dua kampung tersebut masyarakat Bajau juga tertumpu di Kampung Lebak Moyoh.
Wangi
“Jika tempahan banyak sehingga mencecah ribuan biasanya ia akan dibahagi-bahagikan kepada rakan-rakan lain kerana dikhuatiri tidak sempat menyelesaikannya sendiri. Misalnya dua atau tiga penganyam mampu menyiapkan 1,000 tudung duang dalam masa sebulan.
“Dalam hal ini tidak ramai generasi muda yang sanggup melakukan kerja ini kerana ia bukan mudah. Seseorang perlu tekun dan sabar untuk duduk lama demi menyiapkan tugas anyaman. Paling susah adalah untuk membentuk tudung duang supaya berdiri.
Tampak klasik dan unik, tudung duang memainkan peranan penting dalam masyarakat Bajau. Menjadi tradisi mereka membawa dulang makanan ditutup tudung duang ke masjid, surau untuk dinikmati bersama-sama pada perayaan Aidilfitri atau Aidiladha. Ia dipanggil migang ataupun kenduri.
Masyarakat Bajau berpendapat, makanan yang ditutup tudung duang menjadi wangi. Jika diterbalikkan, tudung duang boleh dijunjung di atas kepala dan digunakan untuk membawa barang.
Mengikut adat Bajau, tudung duang menjadi antara barang yang perlu dihantar pihak lelaki sebagai hantaran kepada pengantin perempuan bersama barangan lain seperti bantal dan tikar selisir atau tikar berhias.
Sebagai generasi pelapis legasi pembuat kraf serdang, Syarifah Artini berbangga kerana produk tersebut kian dikenali masyarakat luar. Pada masa sama, fungsinya turut dipelbagaikan menjadi pelbagai barangan seperti bakul, kotak cenderamata dan bekas menyimpan aksesori.
Melalui penubuhan Sharifah Kraf Enterprise yang didaftarkan 30 September 2005, dia kini boleh tersenyum puas apabila produknya turut dibekalkan kepada perusahaan berprestij seperti Pusat Pembangunan Kraftangan Malaysia, Sabah Tourism Board, Sabah Tea dan Karyaneka Sdn. Bhd.











