Trans Gunung Rajah catat rekod - Utusan Malaysia

Trans Gunung Rajah catat rekod

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGURUSKAN seramai 80 pendaki dalam satu ekspedisi mendaki gunung bukan perkara mudah. Macam-macam kerenah perlu dihadapi. Berbekalkan pengalaman, misi menakluk Gunung Rajah di ketinggian 1,684 meter (5,526 kaki) berjalan lancar.

Lebih mengujakan apabila kumpulan pendaki yang terdiri daripada pelatih (rekrut) Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM), 10 jurulatih dan enam pendaki bebas muncul sebagai kumpulan teramai menawan gunung tersebut dari laluan berbeza.

Ekspedisi bermula dari Air Terjun Chamang di Bentong, Pahang dan turun melalui Kampung Peretak, Kuala Kubu Bharu di Selangor.

Menurut Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Md. Ali Ismail, pendakian ini merupakan sebahagian daripada latihan rekrut yang mengikuti kursus Diploma Sains Kebombaan di akademi tersebut.

“Latihan ini bertujuan menaikkan tahap kecergasan fizikal, stamina dan daya tahan mental pelatih. Di samping itu, ia memberi pendedahan mengenai operasi mencari dan menyelamat di hutan atau gunung,” katanya.

Menurutnya, pelatih turut diuji memikul bebanan seberat 30 kilogram seperti peralatan menyelamat, pertolongan cemas dan makanan asas. Ini bagi memastikan setiap pelatih sentiasa dalam siap siaga sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini. 
Ekspedisi ini telah diadakan pada 18 hingga 20 Ogos lalu. Ia merupakan anjuran ABPM Wilayah Timur dengan kerjasama Summit Attack Resources (SAR), selaku ko-ordinator program.

Turut menjayakan misi ini ialah selebriti dari rancangan Raja Lawak, Zarina yang mahu memahami latihan yang perlu diikuti seseorang untuk bergelar anggota bomba.

Mengulas lanjut, Md.Ali berkata, kesemua pelatih bergerak dalam kumpulan dan sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini, setiap anggota perlu bertanggungjawab untuk membantu dan menguruskan insiden tersebut dengan pantas.

“Mereka perlu saling membantu tanpa perlu mengharapkan bantuan luar yang mungkin tiba lewat atau mempunyai halangan lain seperti komunikasi ataupun akses untuk menyelamat,” tambahnya.

Pendakian ini diketuai oleh Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa yang merupakan Pengarah SAR. Beliau juga bertindak sebagai pemandu arah dan ketua jurulatih. Beliau yang mempunyai pengalaman luas membawa pendaki di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa bersyukur kerana tiada sebarang masalah yang kritikal, selain cuaca baik.

“Untuk membawa kumpulan besar seramai 80 orang yang berlainan latar belakang, karektor dan tahap kecergasan dalam satu ekspedisi bukan suatu perkara mudah. Namun segala perancangan berjalan dengan baik, bermula dari taklimat awal sebelum mendaki, latihan kecergasan, persiapan dari segi peralatan sehinggalah tiba hari mendaki,” kata Mohd Fakhrul.

Menurutnya, kesemua pendaki berada dalam kondisi yang baik dan sentiasa bersemangat walaupun ada yang mempunyai masalah kesihatan dan kecederaan kecil. Namun itu hanyalah perkara biasa dan merupakan asam garam dunia pendakian.

“Kerjasama jurulatih dan pendaki jemputan untuk menjayakan misi ini juga menjadi tunjang utama kejayaan program yang rutin dijalankan kepada setiap pelatih yang mengikuti kursus ini,”tambahnya.

Pendakian ini merupakan trans Gunung Rajah kerana bermula di Bentong dan tamat di Kuala Kubu Bharu. Keseluruhan jarak pendakian adalah kira-kira 30 kilometer.

Seorang pendaki bebas, Nur Habibah Umar berkata, ia merupakan ekspedisi pertama beliau dalam satu kumpulan yang besar.

“Sudah tentu, ia memberikan pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Saya selalu berpegang kepada prinsip ‘terus melangkah walaupun sebesar mana pun cabaran yang datang.’ Dunia outdoor bukan hanya memerlukan ketahanan fizikal, malah yang penting, kekuatan mental”,” katanya.

Seorang lagi pendaki bebas, Fariza Hanum berkata, setiap pendakian memberikan pengalaman berbeza dan kita tidak pernah merancang untuk gagal.

“Ekspedisi ini banyak memberi saya pengalaman dan pengetahuan baru bersama anggota bomba,”ujarnya.

Sementara itu, seorang pelatih, Mohamad Syahrul Hafizi Norisham berkata, beliau teruja kerana dapat mengikuti pendakian ini kerana sememangnya beliau cintakan sukan mendaki.

“Ia bukan sekadar menghayati keindahan alam, tetapi juga menguji prestasi diri untuk mengharungi ujian di luar zon selesa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN