Tolak LGBT , kahwin sejenis - Utusan Malaysia

Tolak LGBT , kahwin sejenis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 21 Sept. – Tun Dr. Mahathir Moha­mad menegaskan, Malaysia tidak boleh me­nerima sepenuhnya nilai-nilai hak asasi manusia diamalkan di negara-negara Barat merangkumi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta perkahwinan sejenis.

Perdana Menteri berkata, meskipun ada pembentangan mengenai perkara itu daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), namun nilai-nilai yang dipegang oleh Malaysia adalah berbeza dengan masyarakat Barat.

“Kita perlu mengingatkan Suhakam bahawa sistem nilai-nilai kita adalah tidak sama dengan sistem nilai-nilai Barat, mereka lebih bebas, tetapi di Malaysia ada perkara-perkara tertentu yang kita tidak boleh terima walaupun sekarang ini dianggap sebagai hak asasi manusia di negara barat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita tidak boleh terima um­pamanya LGBT, perkahwinan antara lelaki dengan lelaki dan perkahwinan antara perem­puan dengan perempuan, konsep kita mengenai keluarga adalah kekal sama, dua lelaki atau dua wanita tidak dianggap sebagai keluarga,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Berhubung mesyuarat berke­na­an, Dr. Mahathir berkata, me­syuarat itu bersetuju dengan syor supaya Akta Suhakam dipinda bagi memperkasakan suruhanjaya itu dari segi aspek penguatkuasaan dan rundingan selain mengambil maklum permohonan untuk Laporan Tahunan Suhakam dibahaskan di Parlimen.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, mesyuarat JKKMAR yang diadakan hari ini turut membuat pelbagai keputusan lain termasuk keputusan menghentikan amalan pelantikan Duta serta Pesuruhjaya Tinggi dalam kalangan tokoh-tokoh politik sebagaimana yang dilakukan semasa pentadbiran sebelum ini.

Katanya, keputusan lain yang turut dicapai adalah termasuk menukarkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menjadi Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk bertindak sebagai sebuah badan pemantau bebas yang lebih holistik.

Beliau memberitahu, mesyuarat itu juga memutuskan Biro Pengaduan Awam (BPA) akan ditukarkan menjadi Ombudsman Malaysia menerusi penggubalan akta dalam sidang Parlimen akan datang bagi menjadikan pengurusan aduan awam di negara ini lebih berkesan.

“Kalau ada aduan terhadap jabatan-jabatan kerajaan, selepas diminta pembetulan dan tidak ada penyelesaian, boleh pergi kepada Ombudsman dan Ombudsman ini bebas iaitu tidak tertakluk di bawah Perdana Menteri atau mana-mana Menteri,” katanya.

Ujar beliau, antara penambahbaikan lain yang akan dilakukan termasuk menyerapkan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) di bawah Pusat Governas, Integriti dan Anti Rasuah Nasio­nal (GIACC) selain Institut Integriti Malaysia (IIM) turut ditempatkan di bawah GIACC.

“Berkenaan tadbir urus pro­ses kenaikan pangkat (penjawat awam), kalau ada menteri protes dan tidak setuju, mereka mesti memberi sebab-sebab dan bukan hanya kerana tidak suka orang itu dan ini,” katanya yang memberitahu Akta Perkhidmatan Awam akan diwujudkan untuk menambah baik tadbir urus proses berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini