JASIN 6 Sept. – Sebanyak 1,100 daripada 4,300 kediaman di tiga kawasan iaitu Taman Merbau, Taman Maju dan Felda Kemendor di sini akan mendapat akses rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi dengan kemudahan teknologi fiber optik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah projek rintisnya bagi menjayakan program National Connectivity Plan (NCP).
Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie berkata, dengan infrastruktur sedia ada, TNB akan memulakan projek rintis untuk menilai aspek teknikal, keselamatan dan kebolehharapan komersial.
“TNB dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia bersama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah diminta untuk bersama-sama mengambil peranan mempercepatkan program NCP ini.
“Projek rintis yang bermula bulan ini dijangka siap pada akhir 2018. Melalui projek rintis ini, TNB akan meneroka potensi menggunakan kapasiti sedia ada aset telekomunikasi untuk NCP yang telah dikenal pasti sebagai pemangkin ke arah ekonomi digital, tanpa kompromi kepada keselamatan dan kestabilan rangkaian bekalan elektrik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pengumuman Projek Rintis NCP di TNB Jasin, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Kerk Chee Yee serta Pengarah Projek NCP, Muhammad Faisal Sidek yang menyampaikan taklimat mengenai projek rintis tersebut.
Sementara itu, Moggie memberitahu, projek rintis berkenaan bakal menjadi platform bagi menguji konsep Akses Terbuka (Open Access) yang dicetuskan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
“Platform ini dijangka merangsang penyertaan aktif daripada pembekal baharu dan sedia ada dalam jaringan (backhaul) dan jalur lebar runcit yang akan mewujudkan persaingan dan menurunkan harga jalur lebar untuk manfaat rakyat Malaysia.
“Kami merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Melaka. Sokongan dan kerjasama yang diberikan kerajaan negeri akan membolehkan projek perintis NCP berjalan lancar,” katanya.
Dalam pada itu, Moggie menjelaskan, projek itu juga akan membantu serta memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia bagi mendapatkan akses kepada internet di era digital kini.
“Projek ini bakal mengurangkan lagi jurang digital selain membantu ekonomi digital di Malaysia dalam usaha menjadi sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi. NCP juga akan meningkatkan lagi kualiti, kemampuan dan keluasan liputan rangkaian jalur lebar untuk masyarakat negara ini,” katanya.










