Disangkakan sebagai wajah baharu dalam persada seni Hollywood, ironinya Noah Centineo terlebih dahulu mencipta nama menerusi filem sulung yang diterbitkan pada 2009 berjudul The Gold Retrievers.
Kemudian, Centineo mengembangkan lakonannya dengan muncul dalam beberapa program televisyen terbitan Disney seperti Austin & Ally (2011), Shake It Up (2013) dan Jessie (2014).
Dalam pada itu, Centineo juga pernah muncul menerusi beberapa program televisyen di saluran Nickelodeon iaitu Marvin Marvin (2013) dan See Dad Run (2014).
Bagi pengikut program televisyen yang bersiaran menerusi kedua-dua saluran tersebut, mungkin mudah untuk mengenali Centineo sementelah kemunculan pertama kali dalam industri hiburan ketika berusia lingkungan 12 tahun.
Seiring dengan peredaran masa, Centineo lebih selesa memilih naskhah bersesuaian dengan usia sekali gus menyerlahkan pesonanya yang dikategorikan sebagai aktor kacak masa kini oleh majalah tersohor antarabangsa, Cosmopolitan.
Kegilaan
Membawakan watak sebagai Peter Kavinsky dalam TATBILB, karya romantik hasil adaptasi novel remaja dengan judul yang sama hasil tulisan Jenny Han itu tidak ubah seperti durian runtuh buat Centineo.
Tampak seperti sebuah naskhah ceritera cinta remaja klise, tetapi sentuhan pada olahan penceritaan membuatkan kisah percintaan antara Peter Kavinsky dan Lara Jean Song Covey lakonan Lana Condor mencetuskan suasana romantik dalam kalangan penonton.
Sisi romantik yang ditonjolkan menerusi karakter Kavinsky bukan sahaja mencuri perhatian khalayak, bahkan membuatkan pengikut akaun Instagram Centineo yang dahulu dalam lingkungan 600,000 meledak hingga mencecah lebih 10 juta orang.
Bukan sekadar TATBILB, malah momentum kegilaan peminat terhadap Centineo semakin ‘menggila’ selepas kemunculannya dalam Sierra Burgess Is a Loser.
Kedua-dua naskhah yang disiarkan bersiaran menerusi platform Netflix itu lantas membuatkan Centineo menjadi pujaan wanita. Justeru tidak hairan jumlah pengikutnya naik mendadak selepas TATBILB disiarkan pada Ogos lalu, manakala Sierra Burgess Is a Loser awal September.
“Saya tidak menduga akan mendapat reaksi luar biasa seperti ini terutama apabila kedua-dua naskhah tersebut berjaya meraih perhatian khayalak. Ini membuktikan lakonan kami berjaya menambat hati penonton sekali gus meninggalkan kesan kepada mereka,” tutur Centineo bersahaja.
Ditebak tentang limpahan populariti yang diterima, Centineo tidak melihat ia sebagai satu kelebihan apatah lagi memberinya ‘kejutan budaya’ dalam kerjaya.
Tidak dinafikan, namanya sebelum ini tidak terlalu dikenali melainkan buat mereka yang menggemari drama rantaian Amerika Syarikat (AS), The Fosters.
“Saya melakukan rutin harian seperti biasa dan berjumpa dengan ramai orang terutama saat menghabiskan masa di luar rumah. Tetapi, sejak kedua-dua naskhah tersebut disiarkan, saya mendapat banyak maklum balas daripada khalayak terutama menerusi medium media sosial. Selebihnya, tiada yang banyak berubah dan saya meneruskan aktiviti harian seperti biasa,” katanya.
Dunia media sosial
Bercerita tentang media sosial, Centineo turut berkongsikan tentang pengalaman apabila akaun Snapchat miliknya digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Meskipun tidak memberi kesan sehingga mampu mengundang aib, etapi ia menjadi satu situasi kurang senang yang pernah dialami oleh Centineo.
Tidak memperincikan bila kejadian tersebut berlaku, Centineo juga menceritakan tentang aktiviti sekumpulan penggodam yang menyamarkan diri sebagai pihak penganalisis media.
“Pihak berkenaan meminta saya menggunakan aplikasi mereka untuk menganalisis data di media sosial. Saya Kemudian berasa pelik dan mengetahui akan ada sesuatu yang tidak betul dengan mereka.
“Saya bernasib baik tidak terjebak dengan aktiviti itu dan menasihati pengguna media sosial lain agar berhati-hati dalam memuat turun sebarang aplikasi yang melibatkan data peribadi,” ujar Centineo.
Dalam pada itu, jejaka berdarah kacukan Inggeris-Itali berkenaan turut melontarkan pandangan tentang penggunaan aplikasi suntingan gambar terutama dalam media sosial.
Baginya, menjadi diri sendiri lebih baik berbanding berpura-pura ‘hidup’ dalam dunia imaginasi hanya kerana ingin tampil sempurna pada mata individu sekeliling.
“Seharusnya kita perlu menjadi lebih realistik dan jujur. Tidak perlu memaksa diri untuk menggunakan aplikasi suntingan demi memuaskan hati mereka yang punya fikiran negatif.
“Perkara tersebut lantas menjadi seperti satu kehidupan normal buat khalayak masa kini dan seharusnya tidak berterusan kerana ia akan menjurus ke arah penipuan,” terangnya panjang lebar.
Langkah awal
Berkongsi tentang kisah pada usia remajanya, Centineo pantas menafikan kehidupannya serupa seperti karakter Peter Kavinsky yang digambarkan sebagai remaja popular dan digilai ramai gadis. Nyata, itu bukan refleksi masa lalunya.
Menjalani kehidupan sebagai seorang remaja biasa yang tidak tergolong dalam kategori popular, masa depan Centineo berubah tatkala dia bersetuju menemani kakaknya menghadiri uji bakat untuk terlibat dalam program terbitan Disney atau Nickelodeon.
“Ketika itu saya lingkungan usia lapan tahun dan hanya menuruti permintaan kakak yang ingin hadir ke sesi uji bakat. Kemudian mereka meminta saya untuk turut serta dalam uji bakat terbabit dan akhirnya terpilih. Saya diberi peluang muncul dalam filem The Golden Retrievers serta siri sitkom Austin & Ally.
“Waktu itu, kedua ibu bapa saya memainkan peranan penting apabila mereka memberi sokongan terhadap kerjaya saya sebagai seorang selebriti. Disebabkan ketika itu kami sekeluarga menetap di Florida, jadi agak sukar untuk berulang alik ke Los Angeles.
“Disebabkan itu, ibu mengambil keputusan untuk bersama saya di Los Angeles manakala ayah menemani kakak di Florida sehingga dia tamat pengajian sekolah tinggi.
“Sokongan itu membuatkan saya menghargai pengorbanan mereka kerana tidak semua ibu bapa sanggup berbuat sebegitu. Apabila mengenangkan semula peristiwa itu, ia membuatkan saya berasa terharu dan menyentuh perasaan,” tuturnya tersenyum.
Luahan tersebut seraya membuatkan Centineo lebih memberi perhatian terhadap keluarga dan mengharapkan agar tidak mudah terpengaruh dengan gaya hidup ‘masyarakat’ Hollywood yang kemungkinan akan membinasakan dirinya.
Naskhah To All the Boys I’ve Loved Before (TATBILB) yang disiarkan menerusi aplikasi penstriman Netflix meledakkan nama Noah Centineo sekali gus memberikan peterana baharu buat lelaki berusia 22 tahun itu.











