AWAL September ini merupakan minggu kebanyakan pelajar-pelajar baru atau freshie berdaftar masuk ke universiti-universiti dan kolej-kolej kerajaan ataupun swasta. Pelbagai perasaan bercampur-baur antara gembira kerana berjaya menjejak kaki ke menara dan tak kurang juga perasaan sedih meninggalkan ibu bapa di kampung, bimbang dan blur bagaimana hendak menjalani kehidupan pertama kali berada di alam universiti.
Ramai antara pelajar-pelajar ini mengalami kejutan budaya lantaran berdepan dengan perkara-perkara baru di pusat pengajian tinggi ini. Ada yang mengalami gejala kerinduan melampau (homesick) sehingga mengambil keputusan untuk berhenti daripada meneruskan pengajian. Sebenarnya, mereka ini tidak bersalah jika mempunyai perasaan demikian namun harus diuruskan emosi tersebut dengan cara yang baik. Mungkin dengan perkongsian tips ini sedikit sebanyak membantu pelajar-pelajar baru ini menguruskan kehidupan mereka di universiti dengan baik dan sistematik.
Persediaan mental dan fizikal
Langkah pertama, para pelajar harus sedar bahawa mereka bukan lagi berada di alam menengah tetapi sudahpun berada di alam universiti. Ketika berada di alam menengah, sistem kebergantungan itu lebih kepada ibu bapa dan keluarga. Namun, apabila berada di universiti, sifat kebergantungan itu lebih kepada individu atau diri sendiri. Baik daripada aspek penyediaan makan minum, membasuh pakaian, menyediakan peralatan-peralatan pembelajaran dan sebagainya. Mereka juga perlu lebih berdikari dengan mencari dan mengenali kawan dan sahabat. Minggu orientasi adalah tempat terbaik untuk mereka lebih mengenali antara satu sama lain. Bagi mereka yang sudahpun mempunyai pengalaman berada di asrama ketika menengah adalah satu kredit yang besar dalam menguruskan diri di universiti.
Memahami struktur pengajian
Kebiasaannya para pelajar akan diberikan taklimat atau penerangan oleh pihak fakulti tentang struktur pengajian bagi setiap kursus yang diambil. Langkah ini adalah sangat penting untuk para pelajar memahami setiap subjek yang ingin diambil dan didaftarkan terutamanya pada semester semasa. Setiap subjek mempunyai jam kredit dan gred lulus yang berbeza. Perkara yang perlu dititik beratkan ialah bagi subjek yang mempunyai pra-syarat kerana pelajar tidak dibenarkan untuk mengambil subjek itu selagi pelajar tidak lulus subjek pra-syarat yang dinyatakan. Para pelajar haruslah bertanya sedalam-dalamnya dengan Penasihat Akademik (PA) masing-masing jika tidak memahami tentang struktur pengajian yang diberikan. Jangan lalui semester demi semester tanpa memahami apa yang berlaku sehingga tamat belajar!
Mengenali pensyarah
Setiap pelajar harus mengenali pensyarah-pensyarah yang mengajar mereka. Setiap pensyarah mempunyai cara penyampaian dan penilaian yang berbeza. Dengan mengenali mereka, para pelajar dapat menyesuaikan cara pembelajaran dengan cara pengajaran pensyarah tersebut. Mereka juga perlulah memahami dan mengambil berat dengan cara penilaian pensyarah untuk setiap subjek yang diambil. Ia bagi memudahkan para pelajar mengatur strategi pembelajaran seterusnya skor dengan cemerlang di dalam subjek tersebut.
Dapatkan skor tertinggi di awal semester
Berada di peringkat universiti, penilaian gred lebih kepada penilaian GPA (Gred Point Average) dan CGPA (Cumulative Grade Point). GPA ialah purata nilai gred yang didapati secara purata terhadap keputusan yang diperoleh bagi satu semester manakala CGPA ialah purata nilai gred kumulatif yang mana ia mendapatkan nilai purata keputusan pelajar bagi semua semester yang telah dilalui. Bagi pelajar baharu, haruslah mendapat skor yang tertinggi bagi semester awal permulaan. Ini kerana, subjek-subjek yang disediakan dalam pelan pengajian adalah mengikut tahap kesusahan bagi kursus tersebut. Pada semester satu, dua dan tiga, kebiasaannya subjek yang ditawarkan lebih ringan berbanding semester seterusnya. Para pelajar wajib untuk mengambil tahu bagaimana cara pengiraan GPA dan CGPA ini. Mereka juga perlu mengelakkan diri daripada gagal sebarang subjek. Jika ini berlaku, jadual pembelajaran mereka sudah tidak selari dengan pelan pengajian yang ditetapkan.
Susun jadual untuk diri sendiri dan disiplin
Di peringkat universiti, para pelajar akan berasa bagaimana kucar-kacirnya masa untuk menyiapkan tugasan atau assignment, menyiapkan diri untuk hadapi ujian, menyiapkan projek dan peperiksaan akhir. Di sini, pelajar haruslah bijak dalam membahagikan masa mengikut keutamaan. Nota kecil perlu disediakan bagi mencatat tarikh akhir setiap tugasan dan ujian. Mengikut tarikh akhir inilah pelajar boleh mendahulukan apa yang utama dan seterusnya. Disiplin diri haruslah kukuh dan berprinsip. Disiplin perlu ada sama ada dalam menghadiri kuliah atau menjalani kehidupan di kampus. Seperti kata-kata mutiara, ‘Disiplin adalah jambatan antara cita-cita dan pencapaian’.
DR. SUHADIYANA HANAPI ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.











