KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan wanita sebuah premis cermin mata bertindak membuat laporan polis terhadap seorang lelaki yang mengiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman selepas didakwa merakam video dari bawah skirt wanita tersebut.
Melalui sebuah rakaman video televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi seminit 46 saat itu yang tular di media sosial semalam, seorang wanita sedang memeriksa mata Timbalan Menteri itu dengan membelakangkan suspek.
Suspek kemudian dilihat merakam bahagian bawah skirt mangsa dengan menggunakan telefon bimbitnya. Insiden tersebut dipercayai berlaku di kompleks beli-belah Solaris Dutamas di sini pada Jumaat lalu.
Mangsa kemudian membuat laporan polis pada hari yang sama dan mendakwa dirinya berasa tidak selesa dengan perbuatan lelaki berkenaan.










