PUTRAJAYA – Timbalan Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MIEO), Datuk Ruslin Jusoh bersama enam Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan masing-masing dengan seorang penjamin di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini.
Majistret Azizah Ahmad membenarkan kesemua individu terbabit dibebaskan selepas selesai membantu siasatan berhubung siasatan kes salah guna kuasa dan penyelewengan dana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Difahamkan, semua individu tersebut menjawat Gred 44 hingga Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) B dan berkhidmat di bahagian penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Terdahulu mereka tiba di Kompleks Istana Keadilan pada pukul 9.15 pagi dengan menaiki empat buah kenderaan dan kelihatan menutup wajah masing-masing dengan jaket serta tangan bergari. – K! ONLINE











