KOTA KINABALU – Tiga bekas banduan yang kira-kira sebulan bebas dari penjara diberkas semula kerana melakukan jenayah pecah rumah di Indah Permai di sini baru-baru ini.
Kesemua suspek berusia antara 26 hingga 36 tahun yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Geng Pie ditahan polis masing-masing pada 17 September lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abdul Rakman berkata, kesemua suspek ditahan antara pukul 9 hingga 9.45 pagi kerana terbabit dalam jenayah pecah rumah pada 16 September lalu.
“Dua suspek berusia 35 dan 36 tahun ditahan pada 17 September kira-kira pukul 9 pagi di sekitar Sulaman di sini. Hasil maklumat daripada mereka, suspek utama yang juga dikenali sebagai Pie berusia 26 tahun di tahan di Inanam.
“Kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes curi disahkan baru sebulan bebas dari penjara. Mereka juga kenal antara satu sama lain,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di sini hari ini.
Menurut George, jenayah mereka terbongkar selepas satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) merakam pergerakan mereka menceroboh kediaman mangsa di Indah Permai di sini.
Dalam kejadian antara pukul 11 pagi hingga 1 petang itu, kesemua suspek telah melarikan sebuah kotak yang mengandungi pelbagai item berharga bernilai RM25,000.
“Siasatan mendapati suspek yang memandu sebuah Perodua Viva telah melakukan tinjauan di kawasan rumah mangsa sebelum bertindak menceroboh kediaman tersebut,” katanya.
Tambahnya lagi, tangkapan terhadap kesemua suspek turut membawa kepada penyelesaian lima kes pecah rumah melibatkan kerugian mencecah lebih RM105,000 di sekitar daerah ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi. – K! ONLINE










