Tidak patut marah, peminjam tuntut tunai janji – Najib - Utusan Malaysia

Tidak patut marah, peminjam tuntut tunai janji – Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peminjam Perba­danan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membayar pinjaman pendidikan mereka tidak seharusnya dimarahi sebagai golongan yang tidak amanah dan memalukan bangsa sendiri.

NAJIB TUN RAZAK

Menurut bekas Perdana Menteri itu, golongan tersebut juga tidak seharusnya ‘dimarah’ untuk mengabaikan janji manifesto Pakatan Harapan (PH).

Beliau mendakwa, pe­minjam PTPTN telah dihasut selama 10 tahun oleh PH untuk tidak membayar balik pinjaman pendidikan mereka.

“Kini mereka sering dimarah oleh PH kerana tidak membayar balik pinjaman pula. Peminjam-peminjam PTPTN hanya mahu menuntut PH untuk menunaikan janji mereka. Sudah jatuh ditimpa tangga,” katanya menerusi status dalam laman Facebook beliau, hari ini.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, sesiapa sahaja yang mempunyai akhlak dan mo­ral yang tinggi mesti membayar hutang termasuk dalam soal pinjaman PTPTN.

Kata beliau, sebagai rakyat Malaysia sama ada beragama Islam atau agama apa sekalipun tanggungjawab membayar hutang perlu ada di dalam diri.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib menasihatkan peminjam supaya membayar hutang pendidikan masing-masing mengikut ke­mampuan kerana akibat langkah kerajaan PH yang populis dan tidak bijak, kerajaan sedang mengalami tekanan fiskal yang teruk.

“Kerajaan sudah kehila­ngan hasil sebanyak RM40 bilion setiap tahun selepas pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST), melaksanakan semula subsidi pukal dan mengalami ketirisan dalam pengutipan cukai korporat dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN