KUALA LUMPUR 24 Sept. – PKR tiada pilihan dan mesti meneruskan juga pemilihan parti itu di Johor pada 30 September ini setelah pemilihan di tiga negeri tidak lagi mengikut tarikh yang ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Datuk Rashid Din berkata, pihaknya telah menjalankan pascanilai berkenaan penangguhan pemilihan di Kedah, Perlis serta Perak dan mahu segala masalah yang telah berlaku tidak berulang di Johor.
Beliau bagaimanapun mengakui Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menghadapi pelbagai masalah, sekali gus menyebabkan pemilihan di negeri-negeri utara Semenanjung terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan.
“Kekecohan yang berlaku tempoh hari berpunca daripada pelbagai sebab. Kalau hendak menyalahkan sesuatu pihak, macam-macam isu boleh dibangkitkan seperti masalah sistem, sikap pengundi serta pemimpin sendiri.
“Diharapkan insiden yang sama tidak berulang di Johor. Kita tidak boleh tangguhkan lagi pemilihan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kata Rashid, JPP akan menghantar laporan mengenai pemilihan parti di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis kepada Biro Politik PKR, malam esok.










