Tiada unsur sabotaj pada Pemilihan PKR - Xavier - Utusan Malaysia

Tiada unsur sabotaj pada Pemilihan PKR – Xavier

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Xavier Jayakumar menolak andaian bahawa wujudnya unsur sabotaj untuk mencemarkan imej parti susulan kekecohan yang terjadi pada proses pemilihan PKR di Kedah dan Pulau Pinang pada kelmarin.

Sebaliknya Ahli Parlimen Kuala Langat itu berkata, insiden berkenaan tercetus ekoran permasalahan yang berlaku ke atas sistem pengundian secara elektronik atau e-undi.

“Saya tidak nampak unsur sabotaj kerana insiden tersebut berlaku disebabkan sistem yang bermasalah. Jika perkara itu dapat diatasi mungkin pengundi tidak lagi berdepan dengan sebarang kesulitan.

“Sistem yang diwujudkan mempunyai sedikit kelemahan dan kita serah kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk atasi masalah tersebut sebelum pemilihan di Johor, Melaka serta negeri lain diteruskan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) ‘Senarai Merah Spesies Terancam’ di Auditorium Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.

Kelmarin beberapa siri kekecohan berlaku pada proses pemilihan PKR di dua negeri itu termasuklah ketika sidang akhbar JPP di Seberang Jaya, Pulau Pinang apabila kumpulan ahli parti yang tidak berpuas hati bergaduh sesama sendiri termasuk bertindak membaling kerusi.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan individu yang menimbulkan kekecohan dalam pemilihan PKR 2018 akan dikeluarkan daripada parti, Xavier berkata, pihak Lembaga Disiplin akan menjalankan siasatan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan boleh dibuat. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN