Tiada kakitangan Kemas ditamat kontrak - Utusan Malaysia

Tiada kakitangan Kemas ditamat kontrak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 28 Sept. – Kementerian Pembangunan Luar Bandar memberi jaminan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang berstatus kontrak akan disambung perkhidmatan mereka akhir tahun ini.

Timbalan Menterinya, R. Sivarasa menasihatkan golongan tersebut tidak perlu risau me­ngenai perkara itu kecuali jika terlibat dalam kes berkaitan tatatertib dan seumpamanya.

Menurut beliau, untuk di­serap sebagai kakitangan tetap pula, mereka perlu berkhidmat kira-kira 15 tahun, namun sehingga kini, tidak ramai kakitangan kontrak yang berkhidmat sehingga ke tempoh itu.

“Isu-isu seperti ini selalu dibangkitkan oleh Kesateria­ dan biasanya akan dirun­ding hingga ke peringkat kementerian,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) an­tara Kesatuan Kakitangan Kemas Semenanjung (Kesateria) dengan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Yang hadir sama Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail; Presiden Kesateria, Abdullah Mohamed Shariff dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kemas, Ahmad Kamal Idris Mohd. Nawawi.

Menteri Pembangunan Lu­ar Bandar, Rina Mohd. Ha­run sebelum ini memberi jaminan sama iaitu kesemua 17,539 ka­kitangan kontrak dan tetap yang berkhidmat untuk jabatan itu akan dikekalkan.

Ketika ini, kira-kira 10,000 daripada keseluruhan jumlah tersebut merupakan kakita­ngan Kemas berstatus kontrak.

Terdahulu, dalam majlis sa­ma, Sivarasa turut melancarkan Kursus Pensijilan Pengurusan Organisasi Lestari susulan MoU berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Asma memberitahu, USM ber­s­edia berkongsi kepakaran mereka untuk dimanfaatkan oleh kakitangan Kemas menerusi kerjasama berkaitan pendidikan antara kedua-dua belah pihak.

Katanya, sebagai sebuah universiti yang ‘memimpin kelestarian’, USM bersedia me­nyalurkan pelbagai peluang pe­ngajian serta penyelidikan dengan jabatan itu dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×