Ternak itik ubah kehidupan - Utusan Malaysia

Ternak itik ubah kehidupan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS 24 Sept. – Seorang lelaki dari Kam­pung Bayu Lalang, Me­ranti berjaya membebaskan keluarganya daripada belenggu kemiskinan dengan hasil jualan telur itik yang diusahakan sejak 2013 lalu apabila memperoleh pendapatan sebanyak RM12,000 sebulan.

Che Hassan Che Mud, 59, berkata, kejayaan itu adalah berkat kerja keras dan tunjuk ajar serta bantuan yang dihulurkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) negeri ini.

Menurutnya, sebelum menjadi peserta Azam Tani pendapatan bulanannya sekitar RM600 hasil kerja-kerja kampung yang dilakukan.

“Awalnya, saya hanya menternak 50 ekor itik dan memproses telur masin kepada penduduk sekitar kampung.

“Hasil bimbingan Mardi, selepas itu saya telah menambah jumlah ternakan itik menjadi 100 ekor,” katanya di sini baru-baru ini.

Che Hassan memberitahu, menyedari potensi ternakan itik telur dia telah menambah bilangan dan sehingga kini mempunyai 2,000 ekor itik.

Katanya, pertambahan jumlah haiwan itu bagi melipat gandakan hasil pengeluaran selepas mendapat permintaan tinggi daripada peraih dan penduduk setempat.

“Saya berterima kasih kepada pihak Mardi yang memberikan tunjuk ajar sehingga berjaya keluar daripada garis kemiskinan.

“Tanpa sokongan dan bantuan berkemungkinan besar saya tidak mampu berada pada tahap sebegini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×