MESKIPUN acara Sukan Malaysia (Sukma) 2018 akan menutup tirai secara rasmi hari ini, namun Terengganu menjadi kontinjen paling berjaya pada sukan dwitahunan peringkat kebangsaan edisi ke-19 yang berlangsung di Ipoh, Perak sejak berlangsung pada 12 September lalu.
Kejayaan Terengganu dalam carta pungutan pingat iaitu 53 emas, 48 perak dan 51 gangsa dengan jumlah keseluruhan 152 pingat sehingga pukul 9 malam tadi menyaksikan kontinjen negeri dari Pantai Timur itu mampu untuk muncul juara Sukma 2018.
Kontinjen Terengganu sudah empat kali dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan kali pertama pada Sukma 2008 di Terengganu diikuti Sukma 2010 di Melaka, Sukma 2011 di Wilayah Persekutuan dan Sukma 2012 (Pahang).
Menurut Ketua Kontinjen Terengganu, Samiun Salleh, kejayaan negeri tersebut mendahului carta pungutan pingat pada Sukma 2018 bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sasaran kontinjen kali ini ialah 53 pingat emas.
“Sekarang ini kita sudah mencapai 53 pingat emas dan kita masih berharap dapat mengutip beberapa lagi emas yang ditawarkan sebelum tirai Sukma 2018 berlabuh esok (hari ini),” katanya yang juga Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu semalam.










