KONSEP masyarakat madani pernah dipopularkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau
menjadi Timbalan Perdana Menteri lebih 20 tahun lalu. Tetapi, pergolakan politik yang berlaku
pada 1998 menyebabkan konsep tersebut terus dilupakan.
Namun, dengan Anwar kini bakal menjadi Perdana Menteri kelapan seperti dipersetujui semua komponen Pakatan Harapan (PH), bekas Naib Presiden PKR, MUSTAFFA KAMIL AYUB mahu konsep masyarakat madani diketengahkan semula.
Beliau yang pernah menulis beberapa buah tentang masyarakat madani, menghujahkan kenapa konsep tersebut perlu dilaksanakan dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI bersama jurufoto, HALIM KHALID di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor.
MINGGUAN: Saudara membangkitkan semula tentang konsep masyarakat madani. Apakah saudara beranggapan konsep tersebut masih relevan dalam konteks sekarang?
MUSTAFFA: KONSEP masyarakat madani atau sivil pertama kali dibangkitkan dan dipopularkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Festival Istiqlal, Jakarta, Indonesia pada 1995. Namun, selepas dua tahun ia cuba dikembangkan, berlaku pergolakan politik yang cukup hebat pada September 1998, menyebabkan konsep itu terpendam dan tidak dapat dikembangkan kepada masyarakat pada waktu itu.
Pada hemat saya, konsep itu secara keseluruhan, ia serba sedikit dilaksanakan dalam konteks Malaysia sebab elemen sama ada masyarakat sivil atau madani telah dilakukan di Malaysia sama ada oleh kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) mahupun kemudian hari ini di bawah Pakatan Harapan (PH).
Kemudian untuk menilai sejauh mana konsep itu betul-betul diaplikasikan dengan berkesan, mungkin perlu ada Indeks Masyarakat Madani. Oleh demikian itu kita boleh menyenaraikan elemen-elemen yang penting yang ada dalam masyarakat madani.
Kita boleh menilai sejauh mana kemadanian negara kita berdasarkan beberapa indeks yang ada seperti elemen demokrasi, nilai keagamaan, kebebasan media, ekonomi, pendapatan individu, bebas rasuah dan pelbagai yang lain. Mungkin boleh dibangunkan satu indeks yang lebih menyeluruh dalam persoalan tersebut.
Oleh demikian, pada hemat saya, satu tindakan untuk kita mengetengahkan semula, mempopularkan semula, menghayati konsep masyarakat madani ini penting kerana ia merupakan satu konsep yang telah berjaya membangunkan tamadun yang besar terutama tamadun Islam mengembang di tiga perempat dunia ini.
Juga mengongsi pengalaman tamadun di Barat bagaimana sivil dikembangkan dalam abad ke-17 dan ke-18, beranjak sebelumnya dari sistem monarki dan anarki kepada sistem demokrasi di Barat.
Juga interaksi daripada masyarakat madani di Andalusia dengan tamadun Barat pada waktu itu yang mendapat konsep soal kebebasan manusia, pemberian hak wanita yang sewajarnya dalam politik dan pelbagai yang lain.
Isu utama dalam kalangan rakyat sekarang adalah kos sara hidup. Bagaimana konsep ini dapat membantu?
MUSTAFFA: Saya setuju kita perlu tangani masalah soal pendapatan, kos sara hidup dan perkara lain yang menjadi aspek asas keperluan hidup manusia, namun di tahap lebih tinggi masyarakat madani akan membicarakan soal keinsanan, timbang rasa, tolak ansur sesama kita dan nilai-nilai seumpama ini.
Nilai-nilai inilah sebenarnya yang akan membina kebahagiaan masyarakat. Kalau kita sekadar mengejar untuk makan dan survival, itu tidak mewujudkan kebahagiaan sebenar. Sebab itu dunia hari ini pun bertukar dari konteks penilaian pembangunan, bukan semata-mata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi juga indeks kebahagiaan yang sedang dikembangkan seantero dunia.
Oleh demikian pada hemat saya, dalam konteks Malaysia, kita boleh memanfaatkan indeks kebahagiaan di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membangunkan indeks kebahagiaan.
Jadi saya fikir penting diketengahkan semula supaya kita ada satu perspektif kebahagiaan dan masyarakat yang lebih seimbang serta menyeluruh dalam membangunkan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Bagaimana konsep ini dapat membawa kebaikan kepada rakyat?
MUSTAFFA: Saya fikir dalam hal ini, pentingnya konsep sama ada dalam masyarakat sivil mahupun masyarakat madani, ia menekankan kebebasan bersuara individu. Ia juga menekankan kebebasan bersuara kepada kelompok-kelompok yang dipanggil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan. Dalam masyarakat madani, kedua-duanya itu diiktiraf.
Sebab itu dalam tradisi ini, peranan NGO itu penting untuk menyekat anarki pemerintah. Dalam masa yang sama menghubungkan pandangan rakyat biasa dengan pemerintah semasa.
Jadi, NGO memainkan peranan untuk mengaturkan suara dan menyampaikan hasrat rakyat kepada pemerintah supaya setiap masa ada semak dan imbang antara rakyat, NGO dan pemerintah.
Dalam keadaan liberalisme diterima ramai termasuk di Malaysia, apakah cabaran untuk menerapkan konsep masyarakat madani di sini?
MUSTAFFA: Saya setuju dalam hal ini sememangnya tamadun utama dunia akan mempopularkan konsep yang selesa dengan mereka. Dengan konsep itu juga ia boleh membuat penjajahan baharu ke atas belahan-belahan lain dunia. Sebab penjajahan hari ini bukan dalam bentuk fizikal tapi dalam bentuk ideologi, pemikiran.
Tidaklah semua idea liberal itu salah. Tetapi apabila sampai ke tahap mengetepikan nilai-nilai agama, mengutamakan individu semata-mata, tanpa nilai moral, itu saya fikir keterlajuran yang ada dalam faham liberalisme.
Dalam konteks di dunia Barat sendiri seperti Alexis de Tocqueville juga mulai kritikal dalam hal ini. Tocqueville misalnya mengungkapkan, “Kebebasan tanpa akhlak tidak bermakna, akhlak tanpa agama tiada gunanya”.
Bermakna di situ, akhirnya perlu dikembalikan roh agama dalam faham masyarakat madani. Walaupun terangkum di dalamnya idea liberal tetapi dibatasi oleh nilai agama.
Dalam konteks sekarang, rakyat mahukan politik matang yang lebih memikirkan soal rakyat. Bagaimana konsep masyarakat madani boleh menjadi asas kepada politik matang?
MUSTAFFA: Saya setuju dengan pandangan itu. Politik matang juga terangkum dalam masyarakat madani. Antara elemen penting dalam masyarakat madani yang boleh kita bangunkan semula dalam dunia moden pada hari ini ialah soal kemampuan untuk berbeza pandangan.
Dalam konsep masyarakat madani, ungkapan itu disebut adab al-ikhtilaf atau adab-adab dalam berbeza pandangan. Jadi, ini pun kita bangunkan iaitu berbeza pandangan dalam politik. Ini supaya akhirnya yang ingin kita bina dan bela adalah rakyat itu sendiri.
Kalau kita mampu menghayati betul-betul konsep masyarakat madani, kita boleh membina negara tanpa terlalu mempertimbangkan fahaman politik yang mereka miliki.
Betul, ada pilihan raya setiap lima tahun tetapi selepas tamat pilihan raya, fokus minda kita adalah untuk membela rakyat. Itu kita utamakan dan masing-masing menawarkan yang terbaik kepada rakyat.
Kita boleh gunakan istilah ‘fastabiqul khairat’ iaitu berlumba-lumba untuk kebaikan, bukan berlumba-lumba untuk mencaci, memfitnah dan seumpamanya sampai ke tahap di luar susila dan etika ketimuran.
Saya bersetuju bahawa masyarakat madani boleh mengetengahkan idea bahawa politik itu bukan berterusan mengutamakan kelompok dan parti semata-mata tetapi apabila tamat pilihan raya, seharusnya kita lebih menjurus paling tidak ada gandingan dan persefahaman, kita fokus kepada membela rakyat.










