KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018 yang dijadual berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Sabtu dan Ahad ini akan menjadi platform bagi menentukan hala tuju parti tersebut selepas mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara tersebut merupakan antara perkara yang dibincangkan pada mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di sini semalam.
“Pada PAU nanti, Presiden parti akan memberikan pendirian jelas kepada ahli akar umbi terutamanya mengenai hala tuju parti yang dinanti-nantikan.
“Semua ahli parti di semua peringkat menantikan ucapan dasar Presiden kerana ia yang akan menentukan masa depan dan hala tuju parti,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tersebut di Menara Dato’ Onn, PWTC di sini semalam.











