Tentera rampas RM200,000 barang seludup dalam tempoh sebulan - Utusan Malaysia

Tentera rampas RM200,000 barang seludup dalam tempoh sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG 9 Sept. – Batalion 3 Rejimen Sempadan berjaya merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM200,000 dalam Ops Merpati dan Wawasan yang dijalankan sejak bulan lalu sehingga kini.

Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Muhammad Huzaimi Sabri berkata, rampasan tersebut dilakukan di sepanjang kawasan operasi bermula dari Pengkalan Kubor sehingga Jeli membabitkan jarak sempadan sejauh 129 kilometer.

Menurutnya, antara barangan yang dirampas termasuk petrol, diesel, ayam sejuk beku, beras selain turut berjaya menahan tiga orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar.

“Selain itu, kita turut merampas 300 kilogram daun ketum yang membabitkan nilai berjumlah RM30,000.

“Rampasan ini menunjukkan komitmen tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan keselamatan sempadan negara berada pada tahap terbaik,” katanya dalam sidang akhbar di Pos Tok O, di sini hari ini.

Muhammad Huzaimi memberitahu, rondaan sentiasa diperketatkan di sepanjang kawasan sempadan bagi mencegah anasir-anasir jenayah menerobos masuk ke negara ini.

Katanya, rondaan tersebut dilakukan dalam pelbagai bentuk termasuk berjalan kaki, berbasikal, bermotosikal dan menggunakan kenderaan di sepanjang kawasan operasi.

“Rondaan dibuat kerap kerana kita mahu masyarakat mengetahui kehadiran anggota ATM dalam mengawal kawasan sempadan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN