Tapak projek ‘sakit’ di Jalan SP 3/6 diceroboh - Utusan Malaysia

Tapak projek ‘sakit’ di Jalan SP 3/6 diceroboh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG 12 Sept. – SEBUAH tapak projek terbengkalai di SP 3/6 Taman Saujana Puchong di sini terus menimbulkan kebimba­ngan penduduk setempat.

Ini berikutan kawasan yang menempatkan bangunan ko­mersial termasuk medan selera itu telah diceroboh segelintir pihak tidak bertanggungjawab sejak dua tahun lalu.

Lebih menimbulkan rasa terkilan penduduk setempat, sehingga ke hari ini tiada sebarang tindakan diambil pihak berwajib.

Tinjauan ­Utusan Malaysia di lokasi mendapati tapak projek berkeluasan kira-kira 1.5 hektar itu turut dijadikan tempat pelupusan sampah haram sejak dua tahun lalu.

Keadaan itu menyebabkan ka­wasan persekitaran dipenuhi longgokan sampah-sarap yang menjelekkan.

Selain sisa pepejal, tapak berkenaan turut dipenuhi sisa bahan binaan dan sampah pukal seperti perabot lama.

Kawasan yang terletak dalam pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) itu turut diceroboh warga asing dengan membuka kebun haram.

Berdasarkan pemerhatian, terdapat beberapa buah bangsal didirikan di kebun tersebut yang dikawal oleh bebeapa ekor anjing.

Penduduk mendakwa lebih membimbangkan tapak projek terbengkalai itu kini turut menjadi sarang kegiatan tidak bermoral segelintir pihak.

Sehubungan itu mereka berharap pihak berkuasa tempatan dapat berbuat sesuatu bagi memastikan kawasan itu tidak te­rus diceroboh dan disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN