TEMERLOH 20 Sept. – Taktik pemandu lori balak yang menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) sebelum melencong ke laluan lama bagi mengelak pemeriksaan di Stesen Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sepanjang LPT1, gagal mengabui pihak berkuasa.
Modus operandi itu sering dilakukan pemandu lori balak khususnya membawa muatan berlebihan yang dalam perjalanan menggunakan LPT 1 dan 2 sebelum melencong ke jalan lama bagi mengelak pemeriksaan di Stesen Penguatkuasa JPJ Gambang, Pancing serta Sanggang.
Pengarah JPJ negeri, Muhammad Abdullah berkata, taktik berkenaan telah lama dihidu oleh pihaknya yang menempatkan anggota di jalan lama sebelum membawa lori balak berkenaan untuk ditimbang di stesen penguatkuasa jabatan berkenaan.
“Dalam operasi kali ini, kita berjaya mengesan sebuah lori balak dalam perjalanan dari Kemaman ke Lipis yang melalui jalan lama di Songsang, Temerloh dan dibawa ke stesen penguatkuasa untuk pemeriksaan termasuk ditimbang.
“Hasil pemeriksaan mendapati lori balak berkenaan membawa muatan sebanyak 85 tan metrik iaitu melebihi 65 peratus muatan ditetapkan dan kes ini akan dibicarakan di mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar pada Op Khas Pengarah di Stesen Penguatkuasa JPJ Sanggang di sini malam semalam.
Menurut Muhammad, kes tersebut akan didakwa mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000.
Beliau berkata, sebanyak 21 saman dikeluarkan oleh JPJ dan polis dalam Op Khas Pengarah kali ketiga berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata, bagi memperkasakan lagi penguatkuasaan, pihaknya menubuhkan Unit Lebih Muatan dan Unit Lebuh Raya di negeri ini.
“Unit Lebuh Raya memberi tumpuan sepanjang lebuh raya manakala Unit Lebih Muatan melakukan pemantauan di jalan-jalan yang dikenal pasti,” katanya.











