Tahfiz : Marahkan nyamuk kenapa bakar kelambu? - Utusan Malaysia

Tahfiz : Marahkan nyamuk kenapa bakar kelambu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 27 Sept. – Tindakan kerajaan mahu menutup pusat tahfiz di Kepong, Kuala Lumpur sekiranya pengetua di pusat tersebut didapati bersalah meliwat sembilan pelajarnya disifatkan sebagai pendekatan zalim, sekali gus merendahkan lagi imej institusi agama itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, dalam kes tersebut, pesalah adalah individu maka tidak sepatutnya warga pusat tahfiz secara keseluruhannya termasuk tenaga pengajar, pelajar dan orang persendirian yang menderma untuk operasi pusat tahfiz menerima kesan tersebut.

“Kerana nyamuk seekor, kenapa kelambu hendak dibakar? Itu sudah zalim, ambil tindakan ke atas pelaku cukuplah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau polis meliwat adakah kerajaan akan tutup balai polis? Kalau wartawan meliwat, adakah satu agensi surat khabar akan ditutup?” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa bahawa kerajaan akan menutup pusat tahfiz tersebut sekiranya pengetua tersebut didapati bersalah meliwat pelajarnya.

Mujahid berkata, tindakan itu wajar kerana pemimpin institusi tahfiz tidak sepatutnya terlibat dalam perbuatan keji yang bukan saja dilarang agama tetapi oleh apa jua fahaman dalam masyarakat.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad pula dilaporkan berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan menutup kesemua pusat tahfiz yang tidak berdaftar ketika banyak pihak berharap institusi itu dibantu dan bnukannya dihukum.

 Satiful Bahari turut mempersoalkan pandangan negatif kalangan mereka yang sentiasa mahu pusat tahfiz ditutup setiap kali berlaku insiden membabitkan institusi berkenaan.

“Kalau ada melibatkan pusat tahfiz sentiasa ada pihak mahu ia ditutup, dulu kes terbakar juga mereka mahu tutup. Dalam kes 31 orang mati kerana dipercayai minum arak beracun, patutnya tutup juga kilang arak tetapi mereka tidak berbunyi pula,” soalnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini