SEMAKIN ramai rakyat Malaysia mengalami masalah kewangan yang serius disebabkan oleh pengetahuan kewangan yang lemah, boros dan tabiat kewangan yang buruk sekali gus membawa kepada pengurusan kewangan yang tidak bertanggungjawab.
Biarpun pelbagai data telah dikeluarkan, statistik penggunaan kad kredit dan hutang golongan muda dilihat terus meningkat dengan yang terbaharu, sebanyak 47 peratus belia Malaysia menanggung hutang kad kredit yang tinggi manakala 38 peratus dikenal pasti membuat pinjaman peribadi.
Selain itu menurut Bank Negara Malaysia (BNM), lebih daripada 3,400 individu berusia antara 20 dan 30 tahun telah mendapatkan kaunseling dan bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini juga, individu berumur antara 25 dan 44 tahun merupakan kumpulan umur paling ramai yang diisytiharkan muflis.
Sejak penubuhan AKPK pada tahun 2006, 619,000 pengguna telah menghadiri khidmat kaunseling AKPK dan daripada jumlah tersebut, 195,000 telah mendaftar dalam program pengurusan hutang mereka.
Daripada 195,000 itu pula, AKPK telah membantu 14,000 untuk menyelesaikan sepenuhnya hutang mereka berjumlah RM593 juta.
Menurut statistik AKPK juga, antara punca utama permasalahan hutang adalah ialah perancangan kewangan yang lemah.
Ini menunjukkan kadar keberhutangan dalam kalangan generasi muda hari ini semakin membimbangkan.
Menurut Pakar Ekonomi Mikro, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Loke Yiing Jia, program pendidikan kewangan mestilah diterapkan sepanjang hayat dengan modul yang berbeza diajar pada peringkat umur yang berbeza bukan hanya di ajar di peringkat kanak-kanak atau sekolah menengah.
Jelasnya, pendidikan kewangan harus bermula pada usia muda, dengan penekanan yang berbeza diberikan pada setiap peringkat kehidupan.
Kenyataan Yiing Jia adalah benar memandangkan kehidupan dan perbelanjaan pelajar sekolah menengah atau graduan universiti adalah berbeza dengan golongan muda yang baharu memulakan pekerjaan.
Belia yang baru bekerja mungkin mendapati pendidikan kewangan lebih relevan dengan kehidupan mereka berbanding di zaman persekolahan.
Namun masalah yang timbul adalah apabila mereka meninggalkan dunia persekolahan dan memasuki alam pekerjaan. Lazimnya, adalah sukar untuk mereka menghadiri kursus pendidikan kewangan melainkan diwajibkan oleh majikan.
Jadi, adakah kesedaran mengenai pendidikan kewangan merupakan tanggungjawab pihak luar atau diri sendiri?
Belia disarankan untuk mengambil semua langkah-langkah yang difikirkan perlu untuk tidak menjadi sebahagian daripada statistik yang membimbangkan itu.
Masa hadapan adalah satu tempoh yang sangat panjang dan bebanan yang ditanggung hasil daripada hutang kad kredit dan pinjaman peribadi yang melambung tinggi hanya akan menjadi penghalang kepada pembangunan kerjaya dan diri anda.










