KUALA LUMPUR 15 Sept. – Synergy Promenade Sdn. Bhd. (Synergy Promenade) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi mendapatkan ganti rugi berhubung kemelut pemilikan tanah untuk projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).
Walau bagaimanapun menurut jurucakap syarikat, Synergy Promenade terlebih dahulu mahu mengadakan perbincangan dengan Pengerusi baharu Felda, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor bagi menyelesaikan masalah tersebut yang bermula sejak tahun lalu.
Tambahnya, sehingga hari ini syarikat tidak mendapat sebarang maklum balas konstruktif daripada Felda untuk berhubung terhadap pindah milik tanah yang berlaku.
“Penyelesaian yang wajar patut dilakukan demi kepentingan semua pihak iaitu Synergy Promenade, Felda dan Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FIC).
“Tetapi, sekiranya perkara ini juga tidak menjadi kenyataan, kami tiada pilihan lain dan tidak akan teragak-agak untuk mencari apa jua tindakan perundangan yang berpatutan ke atas Felda atau FIC bagi membolehkan kami mendapat ganti rugi yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Jurucakap itu menjelaskan, KLVC yang bakal dibina di atas tanah milik Felda di Jalan Semarak di sini pada asalnya adalah bagi merealisasikan hasrat Felda untuk membina tiga menara, setiap satunya mempunyai ketinggian 68, 75 dan 70 tingkat dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sehingga RM2.5 bilion.
Katanya, bagi keperluan pembiayaan untuk menyempurnakan projek pembangunan itu, syarikat memindahkan sebahagian hak milik tanah bagi membolehkan syarikat mendapat kewangan, di mana caj ke atas tanah tersebut akan dijamin pihak pertama sebagai jaminan.
Tambahnya, berhubung pemindahan hak milik tanah berkenaan, timbul beberapa tuduhan seperti salah guna kuasa, rasuah, dan salah laku.
“Untuk pengetahuan, proses pemindahan hak milik berkenaan dilakukan selaras dengan perjanjian yang dicapai antara pihak kami, Felda dan FIC. Kami juga telah mematuhi syarat dan prosedur yang sepatutnya iaitu menerusi Pejabat Tanah dan Galian,” katanya.
Kata jurucakap itu lagi, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki sendiri menyatakan tidak ada unsur rasuah atau salah guna kuasa berhubung pemindahan hak milik tanah berkenaan.
Menurutnya, Azam turut berkata siasatan SPRM menunjukkan ia hanyalah kelemahan dalam urus tadbir dan perkara itu tertakluk kepada siasatan pihak polis.
“Berhubung perkara berkenaan, polis juga telah menutup siasatan dan merumuskan tiada tindakan lanjut akan diambil.
“Jika benar Synergy Promenade mempunyai niat untuk memindahkan hak milik tanah berkenaan demi kepentingan sendiri, seperti yang dituduh, dan bukannya untuk pembangunan tersebut, sepatutnya syarikat boleh menjual tanah berkenaan terus kepada pihak ketiga.
“Bukannya memindahkan hak milik tanah berkenaan ke atas nama kami sendiri, yang menyebabkan kami terpaksa menanggung kos-kos berkaitan di atas pemindahan berkenaan seperti nilai duti setem yang tinggi,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, daripada 24 plot tanah yang tertera dalam perjanjian berkenaan, Synergy Promenade hanya memindahkan 16 hak milik tanah yang perlu bagi tujuan pembangunan ketiga-tiga menara seperti yang dikehendaki oleh Felda.
Katanya, syarikat telah memaklumkan Felda dalam tempoh masa yang berpatutan berhubung proses pemindahan hak milik itu, namun tiada maklum balas diperoleh daripada Felda.
“Tetapi hanya selepas beberapa bulan proses penukaran berlaku, barulah Synergy Promenade dipanggil untuk menghadiri mesyuarat. Ketika mesyuarat berkenaan berlangsung, kami telah menjelaskan kepada mereka faktor kami melakukan pemindahan hak milik tanah berkenaan.
“Tetapi, Felda enggan menerima penjelasan kami, sebaliknya mereka bertegas agar tanah berkenaan dikembalikan kepada mereka, dan Felda memilih untuk menyiarkan permintaan berkenaan melalui media awam,” katanya.
Ditanya berkaitan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Felda yang diadakan selepas kontroversi tersebut, jurucakap itu berkata, ia bagi membolehkan projek pembangunan berjalan dan mengelakkan perselisihan faham berterusan.
Katanya, Felda bersetuju untuk menerima tanah dan berjanji membantu menyelesaikan kemelut yang menguntungkan semua pihak terlibat dalam isu itu.
“Selepas proses penyerahan tanah berlaku, hanya sekali pertemuan dan perbincangan diadakan sehingga kini. Ketika pertemuan awal itu, Felda memberi jaminan akan memastikan kami mendapat cadangan mereka berhubung perkara ini.
“Malangnya sehingga hari ini, kami tidak mendapat sebarang kertas cadangan walaupun mereka telah diberi notis peringatan beberapa kali.
“Memandangkan tempoh enam bulan untuk rundingan seperti mana yang dinyatakan dalam MoU berkenaan telah berlalu, maka perjanjian itu dengan sendirinya telah terbatal,” katanya.
Katanya lagi, Synergy Promenade telah beberapa kali menulis surat kepada Felda bagi memohon maklum balas tentang langkah penyelesaian berhubung pembangunan berkenaan.
Katanya, satu daripada terma MoU menyatakan pemindahan semula hak milik tanah berkenaan mesti dilakukan selaras dengan prosedur dan undang-undang.
Dua daripada tanah berkenaan tertakluk kepada sekatan di mana persetujuan pihak berkuasa dari kerajaan negeri diperlukan untuk proses pemindahan hak milik tanah yang dinyatakan.
“Mengikut prosedur yang sepatutnya, kami perlu menghantar permohonan kepada Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) bagi membolehkan persetujuan pihak berkuasa dan Surat Kebenaran Pindahmilik dapat dikeluarkan.
“Namun sebelum kami menandatangani dan menghantar permohonan berkenaan, kami terkejut apabila mendapati kedua-dua tanah yang dinyatakan sudah pun dipindahkan hak miliknya dan telah didaftar di bawah nama Felda,” katanya.
Ekoran itu, syarikat telah menulis surat memohon penjelasan daripada pihak PTGWP beberapa kali berhubung perkara ini, tetapi sehingga ke hari ini tidak mendapat sebarang maklum balas.
“Kami berpandangan terdapat kemungkinan penyalahgunaan kuasa berlaku, dan pemindahan hak milik kedua-dua tanah itu tidak mengikuti lunas undang-undang yang sepatutnya.
“Oleh itu kami akan membuat laporan kepada pihak SPRM berhubung isu ini,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE











