SUNGAI PETANI 19 Sept. – Tempoh reman seorang pemuda berusia 21 tahun dilanjutkan lima hari lagi bagi membantu siasatan kes samun pelanggan dobi layan diri dan kedai runcit 24 jam yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Perintah reman ke atas suspek utama kes itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Balkhis Abdul Halim di sini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Selain itu, reman terhadap isterinya yang berumur 32 tahun turut disambung untuk tempoh sama bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini kedua-duanya direman selama enam hari bermula 14 September lalu setelah ibu suspek bertindak menyerahkan mereka ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Khamis lalu.
Seorang lagi suspek berusia 20 tahun berjaya ditahan polis di Juru, Pulau Pinang pada Ahad lalu dan kini menjalani perintah reman selama enam hari yang akan berakhir pada 22 September ini.










