Sultan Selangor berkenan cadangan naikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun - Utusan Malaysia

Sultan Selangor berkenan cadangan naikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan dengan cadangan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menyelaraskan had umur minimum perkahwinan orang Islam lelaki dan wanita daripada 16 kepada 18 tahun.

Sultan Selangor bertitah, baginda memandang serius kes-kes seperti itu kerana bimbang tentang risiko kemudaratan masa depan pasangan tersebut dan kesannya kepada masyarakat kelak.

“Baru-baru ini rakyat telah dikejutkan dengan kes yang melibatkan perkahwinan kanak-kanak Islam pada usia yang terlalu muda, terutama kanak-kanak perempuan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Oleh itu, Beta telah menitahkan pihak MAIS dan JAIS untuk menyemak semula undang-undang dalam kalangan orang Islam yang sedia ada di negeri Selangor dan membuat cadangan penambahbaikan jika perlu.

“Berikutan dengan itu MAIS dan JAIS telah menyembah maklumkan kepada Beta cadangan pindaan terhadap peruntukan undang-undang yang sedia ada,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Perasmian Mesyuarat Kedua penggal pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.

Turut hadir Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Sultan Selangor turut bertitah, beberapa peruntukan lain juga perlu dipinda bagi menambah baik prosedur dan proses kebenaran perkahwinan di bawah umur di Mahkamah Syariah.

Baginda bertitah, antaranya dengan meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa dan pihak berkenaan seperti mendapatkan rekod aspek mental, jasmani, kesuburan, akhlak dan sosiologi serta pengakuan kerelaan tanpa paksaan pemohon bagi memastikan perkahwinan mereka ini tidak akan mendatangkan kemudaratan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini