“KUMPULAN Sokongan Ibu Tunggal (KSIT) membuat kesimpulan bahawa mahkamah syariah, pegawai agama mahupun pegawai Sulh di negara ini secara amnya langsung tidak ada hati dan perasaan untuk memahami masalah wanita apabila diceraikan. Bayangkan setelah sah isteri itu diceraikan, si suami angkat kaki balik kepada dunianya yang bebas daripada tanggungjawab, tinggalkan bekas isteri berhempas pulas menyara anak-anak yang ramai tanpa sebarang nafkah.
“Masalah ini memang sentiasa berlaku kerana sebaik-baik sahaja mahkamah syariah mengesahkan perceraian pasangan suami isteri itu, mahkamah langsung tidak buat sebarang keputusan terhadap pemberian nafkah kepada anak-anak daripada seorang ayah. Sebaliknya si isteri dinasihatkan oleh mahkamah mencari peguam untuk buat tuntutan nafkah anak-anak, hadanah, nafkah edah mahupun harta sepencarian.
“Sedangkan mahkamah tahu urusan untuk menuntut nafkhah daripada bekas suami akan memakan masa bertahun-tahun lamanya. Jadi buat sementara waktu perbelanjaan makan anak-anak, sekolah anak, sakit pening, siapa yang kena tanggung. Tentulah si ibu, mana dia nak cari duit kalau dia tidak bekerja? Kalau bekerja pun mampukah dia tanggung anak-anak sendirian?
“Tidakkah mahkamah faham bahawa wanita yang diceraikan itu bermasalah untuk mencari duit bukan sahaja untuk menyara anak-anak yang ditinggalkan malah membiayai persekolahan mereka. Masalah tambah teruk jika si wanita itu tidak ada tempat tinggal dan dia tidak bekerja! Di mana dia nak cari duit?” Ini curahan hati Nuriani dalam perjumpaan KSIT.
“Saya tak cakap pasal diri saya sendiri, tetapi inilah masalah besar yang terpaksa ditanggung oleh kebanyakan wanita yang diceraikan. Bukan semua ibu tunggal bekerja, lainlah jika dia anak orang kaya, artis ataupun anak tokoh korporat. Ada orang boleh bantu. Sebaliknya ramai ibu tunggal hidup susah, ada yang dulu bekerja, tetapi setelah beranak-pinak suami suruh berhenti kerja konon boleh sara, tetapi hakikatnya dia ditinggalkan beban tanggung anak anak.
“Jadi besarlah harapan kami mendapat perhatian mahkamah, di mana lagi tempat kami meletakkan harapan, kalau bukan mahkamah syariah, tetapi jika mahkamah juga menyokong kaum lelaki, maka hancurlah harapan wanita seperti kami,” kata Nuriani lagi.
“Bila mengadu masalah supaya kes dipercepatkan ke mahkamah orang yang ada kuasa di sana suruh saya fikir kemampuan bekas suami bayar nafkah. Sedangkan mereka tidak fikirkan pun seksanya ibu yang tidak bekerja menanggung keperluan dan makan minum anak-anak.
“Sepanjang kes saya turun naik mahkamah lebih lapan tahun, saya berhempas pulas bukan setakat bagi makan, minum, pakai dan persekolahan anak-anak, malah terpaksa cari tempat untuk kami anak-beranak berlindung. Apakah mahkamah tidak sedar dan tidak mahu faham masalah kami?
“Kerana itu kami harap mahkamah buat peraturan baru iaitu sebaik-baik sahaja seseorang isteri itu diceraikan maka mahkamah wajibkan si ayah bayar nafkah dengan memotong gaji untuk anak-anaknya, supaya kehidupan dan pelajaran anak-anak tidak terganggu.
“Undang-undang Keluarga Islam patut buat perubahan supaya penetapan pemberian nafkah dibuat sebaik-baik sahaja perceraian di sahkan di mahkamah syariah, supaya anak-anak terbela nasib mereka. Undang-undang ini buatan manusia, ia boleh diubah mengikut keadaan semasa dalam kehidupan yang serba sukar dan mencabar sekarang ini. Kami minta hanya undang-undang diperbaharui bukan minta mahkamah ubah ayat al-Quran?
“Tetapkan juga jika si ayah gagal memberi nafkah, maka tanggungjawab itu dipindahkan secara automatik kepada keluarganya, ibu, ayah, atau adik-beradiknya supaya mereka tahu tugas dan tanggungjawab beri nafkah. Dengan cara ini si ayah tidak boleh lari atau berhenti kerja semata-mata mengelak beri nafkah kepada anak-anaknya. Sebab nafkah adalah tanggungjawab si ayah sebagai orang yang mengaku beragama Islam.
“Saya amat kecewa dengan mahkamah syariah kerana sudah berpuluh kali saya turun naik mahkamah selama lapan tahun tetapi nafkah yang saya tuntut masih tak dapat. Saya perhatikan mahkamah sentiasa melambat-lambatkan kes ketika dibawa ke hadapan hakim.
Kes tertangguh
“Mahkamah tidak tegas malah amat berlembut dengan bekas suami, terlalu bertolak ansur. Kalau bekas suami tak hadir di mahkamah maka kes ditangguhkan. Bukan sekali tetapi berkali-kali kes tertangguh kerana masalah yang sama. Bekas suami lebih licik, dia akan datang untuk membuat Ubah Perintah yang telah ditetapkan mahkamah, alasannya nak bayar nafkah secara beransur. Sedihnya mahkamah boleh terima dan suruh saya patuh. Kalau saya bantah pun keputusan diteruskan. Tetapi selepas setahun menunggu nafkah tetap tak bayar pun. Dan mahkamah tak pun bertindak bila saya buat aduan. Suruh bicara lagi.
“Saya patuh, buat aduan lagi ke mahkamah kerana tak bayar nafkah, minta bekas suami datang, tiga kali keluar saman baru sekali datang. Tapi dia lagi pandai menipu, dia minta pindah bicara ke mahkamah lain pula, ke tempat lebih jauh dari rumah saya, iaitu ke Klang. Kes saya juga pernah berpindah ke Shah Alam, tapi nafkah tak bagi juga.
“Setiap kali pindah mahkamah dia buat ubah perintah, mula-mula janji nak bayar RM1,100 untuk empat anak kemudian tukar kepada RM400 sahaja untuk seorang anak. Habis yang lagi tiga orang tu nak suruh saya tanggung ke?
“Adakah tugas menyara anak-anak menjadi tanggungjawab seorang ibu? Tapi nampaknya di Malaysia ini mahkamah syariah tidak tegas dalam menjalankan tindakannya, maka nampaknya wanitalah yang kena tanggung anak-anak selepas bercerai bukan bekas suami!
“Bab mahkamah melewat-lewatkan kes sudah jadi perkara biasa di negeri ini, khususnya di Selangor mengikut pengalaman pahit saya. Bukan itu sahaja, malah mahkamah pernah hilangkan dokumen yang telah dibawa ke mahkamah. Bila kita minta dokumen tersebut, mereka boleh kata sudah hilang dan tidak ada dalam fail.
“Oleh sebab terlalu lama turun naik mahkamah, tuntutan nafkah meningkat hampir RM80,000. Bekas suami jadi lebih pintar menipu mahkamah selain tidak mahu hadir ke mahkamah. Penghantar saman tak pernah tak jumpa rumah ‘defendan’. Saya pula kena telefon dan beri alamat. Akhirnya petugas mahkamah suruh saya pula yang hantar surat saman! Kerja saya ke hantar saman? Tapi saya hantar juga sebab mahu kes segera tamat dan dapat tuntutan nafkah.
“Kerana tak mahu hadir ke mahkamah akhirnya saya buat tuntutan supaya mahkamah jalankan hukuman tangkap dan memenjarakan bekas suami kerana kegagalannya beri nafkah. Malangnya bekas suami lari lagi. Saya pernah hantar saman ke rumah bekas mentua, sebab saya tahu dia di sana.
“Tetapi bekas suami memang liar dan tak takut undang-undang, dan dia tak takut ditangkap apa lagi dipenjarakan. Mungkin kerana dia bersaudara dengan orang dalam jabatan agama? Sebab itu dia berani! Kerana tidak ada orang berani menangkapnya.
“Kerana kes terlalu lama ramai sahabat bersimpati, mereka bantu beri info tempat tinggal dan tempat kerja bekas suami. Walaupun dalam mahkamah dia mengaku tidak bekerja.
“Dia pernah lari bekerja ke Kelantan, namun saya dapat cari tempat kerjanya. Semua ini saya usaha sendiri supaya dia datang ke mahkamah, tetapi dia tetap tak hadir. Apabila dia balik bekerja ke Selangor pun ada sahabat yang berikan alamat rumahnya, tetapi petugas yang hendak menangkapnya masih gagal mencarinya. Alasannya tak jumpa rumah walaupun saya sertakan lokasi bagi memudahkan mereka.
“Lebih sedih petugas mahkamah bukan sahaja gagal menangkap bekas suami, tetapi telah menghubungi beliau dan beritahu mereka akan datang untuk menangkapnya. Jadi bodohlah dia kalau tidak melarikan diri lagi.
“Sedihnya walaupun waran tangkap dikeluarkan hampir dua tahun lalu, tetapi hingga kini bekas suami masih belum di tangkap. Dia masih enggan bayar nafkah tertunggak.
“Saya rasa tak ada ibu tunggal segigih saya membuat tuntutan nafkah begini lama, daripada anak saya yang masih bayi saya bawa bersama ke mahkamah buat tuntutan nafkah hingga kini sudah berumur 9 tahun. Tetapi saya masih gagal dapat nafkah.
“Kata kawan gunakan khidmat BSK kes kita akan dibantu dan berjaya, malangnya hasilnya tetap sama, BSK tidak banyak membantu, malah mengharapkan saya mendapatkan semua bahan bukti. Kalau begini caranya, lebih baik saya jadi peguam bela nasib saya sendiri!
“Pada akhir bulan Ogos lalu sekali lagi saya ke mahkamah minta supaya kes saya ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam. Kali ini saya minta supaya mahkamah tinggi tersebut buat keputusan muktamat supaya bicara diteruskan berjalan sebelah pihak sebab saya tahu bekas suami tidak akan datang. Saya juga berharap mahkamah jangan lagi bertolak ansur dengan dia, sebaliknya pertimbangkanlah masalah dan kesusahan yang saya lalui.
“Saya mohon mahkamah tinggi teruskan kes saya. Dan saya juga minta supaya waris, iaitu ibu bapa dan adik-beradik bekas suami supaya bayar tuntutan nafkah anak-anak yang tertunggak, sebab kes saya ini sudah terlalu lama bertangguh, maka sudah sampai waktunya diputuskan dan waris mesti bertanggungjawab. Saya juga memohon mahkamah jangan lagi mengukur kemampuan si ayah dalam memberi nafkah, tetapi fikirkan sama betapa susah dan seksanya saya bertungkus lumus menyara anak-anak selama lebih lapan tahun tanpa pekerjaan tetap.
“Kalau selama ini waris melindungi dan menyembunyikannya, maka sampailah waktunya, mereka mesti bertanggungjawab atas perbuatannya. Dan ini memang menurut hukum Islam iaitu jika defendan tak mampu bagi nafkhah anak-anaknya, maka menjadi tanggungjawab si waris untuk membayar. Jangan mengelak.’’
“Tetapi jika mahkamah masih menyebelahi si ayah yang enggan bayar nafkah, rasanya mahkamah syariah hanya tinggal nama sahaja, tidak berfungsi kepada wanita dan mahkamah bukan tempat ibu tunggal seperti saya mengadu nasib.” Itu harapan Nuraini kepada mahkamah tinggi syariah.










