Sudah-sudahlah salahkan penjawat awam - Utusan Malaysia

Sudah-sudahlah salahkan penjawat awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 Sept. – Kerajaan diminta untuk tidak berterusan menyalahkan atau mencetuskan persepsi buruk terhadap kesetiaan lebih kurang 1.7 juta penjawat awam terutamanya dalam kalangan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sudahlah kenaikan gaji tahunan dan ganjaran serta faedah diperkenalkan kerajaan terdahulu tidak dilaksanakan, pastinya motivasi mereka terjejas dengan pelbagai tohmahan berterusan yang dilemparkan.

Pada hakikatnya, tegas beliau, kelancaran segala dasar yang diperkenalkan parti pemerintah amat bergantung kepada kewibawaan dan kerja kuat penjawat awam yang menjadi enjin kepada kelancaran operasi kerajaan.

“Sepanjang pengalaman saya selaku anggota pentadbiran, mereka ini amat profesional dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah sebagai kakitangan awam yang berkhidmat tulus kepada kerajaan yang memerintah sebagaimana sumpah perjawatan mereka.

“Yang pasti, anggota perkhidmatan awam adalah agen utama untuk dimanfaatkan, bukan untuk dimusuhi jauh sekali disangsikan kesetiaan mereka,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau, hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menzahirkan rasa tidak berpuas hati dengan tindakan segelintir pegawai kerajaan yang didakwa beliau masih setia kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr. Mahathir memberi contoh tindakan beberapa pegawai yang melengah-lengahkan pelantikan pegawai menteri sehingga tidak menerima gaji selama empat bulan meskipun perkara itu telah diluluskan beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN