BUKIT MERTAJAM 24 Sept. – Kerajaan sentiasa berusaha menyediakan persekitaran yang lebih kondusif bagi wanita terutama yang mempunyai anak kecil untuk bekerja.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau mengambil maklum terdapat pelbagai halangan dihadapi wanita dengan anak kecil untuk menumpukan perhatian kepada kerja mereka dan berusaha untuk memperbaiki polisi berhubung situasi itu.
Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mahu agar penyediaan taman asuhan kanak-kanak (taska) di premis pekerjaan diberi keutamaan bagi membolehkan wanita menumpukan perhatian kepada tugasan mereka.
“Kerajaan memang sentiasa mengambil serius mengenai suasana kerja yang kondusif agar sasaran mencapai 30 peratus tenaga kerja wanita yang kita impikan selama ini tercapai.
“Itulah sebabnya kita memahami keperluan untuk menyediakan kemudahan taska di premis pekerjaan sama ada di sektor swasta, kerajaan dan bukan kerajaan termasuk institusi pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Wanita dalam Ekonomi di sini hari ini.










