PUTRAJAYA 20 Sept. – Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah mengenakan pemeriksaan ke atas semua buah strawberi segar yang diimport dari Australia di semua pintu masuk negara ekoran penemuan jarum dalam buah tersebut baru-baru ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, langkah berjaga-jaga itu diambil berikutan arahan
penarikan balik produk strawberi jenama Berry Obsession, Berry Licious, Love Berry, Donnybrook Berries, Delightful Strawberries dan Oasis oleh Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Australia.
“Pihak Berkuasa Australia memberi jaminan bahawa berkuatkuasa semalam, produk tersebut yang akan dieksport dari Australia bebas daripada pencemaran logam melalui pengeluaran perakuan permit kepada pengeksport.
“Dalam hal ini, pihak kementerian bekerjasama rapat dengan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia berkaitan isu ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Isnin lalu, media melaporkan bahawa Australia telah mengarahkan pihak berkuasa mereka untuk meningkatkan siasatan terhadap kes penemuan jarum menjahit dalam strawberi yang dijual di pasaran.
Langkah itu diambil berikutan penemuan jarum menjahit dalam buah tersebut di Queenland, New South Wales, Victoria, the Australian Capital Territory, South Australia dan Tasmania baru-baru ini.
Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, semua makanan yang diimport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.-UTUSAN ONLINE











