IPOH – Atlet pelapis kebangsaan, Azreen Nabila Alias membuktikan gelaran selaku ratu pecut Sukan Malaysia (Sukma) 2018 selepas turut menjuarai acara 200 meter wanita sekali gus menyumbang emas ketiga peribadi untuk Kontinjen Terengganu, hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh, Azreen gagal disaingi pelumba lain selepas muncul pelari pertama mencecah garisan penamat dengan 24.76 saat meninggal pelari tuan rumah, Shereen Samson Vallabouy dengan pingat perak (24.92s).
Atlet bukan pilihan dari Sabah, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas hanya berpuas hati di tempat ketiga dengan pingat gangsa setelah mencatat masa 25.27s.
“Beraksi pada hari ini, saya memang tidak sasar untuk menang pingat emas. Saya juga tidak sangka mampu untuk tewaskan pelari Perak, Shereen kerana semua tahu dia memang pelumba pilihan untuk acara ini.
Saya terus berlari dan mengikut arahan jurulatih supaya tidak memikirkan tentang pesaing lain dan hanya fokus untuk tamatkan perlumbaan di tempat pertama,” katanya kepada pemberita selepas tamat aksinya.
Selasa lepas, Azreen memperbaharui rekod Sukma dalam acara 100m selepas 10 tahun yang dipegang oleh atlet Johor, Siti Fatimah Ahmad yang melakukan 11.82s di Sukma Terengganu 2008 dengan catatan masa terbaru 11.81s sekali gus merangkul emas acara berkenaan.
Emas kedua Azreen hadir menerusi kuartet wanita Terengganu yang diperkuatkan Nurul Alyssa Azman, Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka dan Siti Norzullaika Ramli, yang cemerlang mengungguli acara 4x100m dengan catatan masa terpantas 47.01s. – Bernama










