KUALA LUMPUR 28 Sept. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merampas dan membekukan sebanyak RM2.5 bilion wang tunai sejak Jun lalu.
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, jumlah itu tidak termasuk sitaan aset yang dibuat pihaknya sejak mengambil alih jawatan Ketua Pesuruhjaya bermula empat bulan lalu.
“Sejak Jun lalu juga, kita telah menahan sebanyak 336 individu atas pelbagai kesalahan rasuah serta salah guna kuasa sebelum berjaya mendakwa kira-kira 100 daripadanya di mahkamah.
“Kesemua ini hanya dalam tempoh empat bulan, dan termasuk rampasan kes 1 Malaysian Development Berhad (1MDB), sangat menakutkkan bukan?” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menjadi tetamu program temubual di Radio Bernama dekat Wisma Bernama di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











