KOTA KINABALU 8 Sept. – Kepulangan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman yang disambut ribuan rakyat Rabu lalu adalah mesej jelas kepada kerajaan negeri bahawa keluhuran Perlembagaan perlu ditegakkan dan keadilan diberikan kepada rakyat Sabah yang sebenar.
![]() |
|
MAZLAN Joe Manan
|
Ketua Penerangan Pemuda UMNO negeri, Mazlan Joe Manan berkata, ini kerana, selepas 100 hari memerintah, kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) telah membuat beberapa keputusan yang membelakangkan hak rakyat Sabah serta undang-undang negeri.
Sehubungan itu katanya, kehadiran Musa yang telah mengangkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga menjadi harapan rakyat untuk menguatkan lagi blok pembangkang dalam menjalankan peranan semak dan imbang kepada kerajaan negeri.
“Laungan keramat ‘Sabah untuk Sabahan’ yang diuar-uarkan semasa pilihan raya umum lepas rupa-rupanya hanyalah laungan meraih undi kerana pada hari ini kerajaan negeri tidak lagi melihat anak watan Sabah sebagai berpotensi dan berkemampuan memegang jawatan tinggi dengan melantik Presiden Majlis Perbandaran Sandakan bukan dalam kalangan anak watan itu sendiri.
“Pengkhianatan kepada institusi penjawat awam dengan melantik orang luar menjadi pengarah jabatan kerajaan juga bertentangan dengan peruntukan undang-undang sedia ada, contohnya pelantikan pengarah Jabatan Air Negeri Sabah bukan daripada kalangan penjawat awam seperti termaktub di dalam Enakmen Bekalan Air Sabah 2003,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mazlan, kerajaan haruslah komited memperbaiki taraf hidup anak watannya sendiri dengan mencipta lebih banyak peluang-peluang pekerjaan di dalam semua sektor termasuklah sektor pertanian, bukannya memberikan peluang-peluang tersebut kepada pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Mengambil contoh pemberian pas kerja beramai-ramai kepada PATI merupakan pencabulan undang-undang negara di bawah seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan tidak harus dilakukan oleh kerajaan pemerintah pada hari ini.
“Telah berlaku insiden-insiden hitam di negeri seperti pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu cukup untuk membuatkan kita agar terus berwaspada dan berhati-hati supaya peristiwa seperti itu tidak berulang kembali, justeru memberikan pas kerja seumpama menanam duri di dalam daging,” tegas beliau.











