KUALA LUMPUR 17 Sept. – Persetujuan Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) amat dialu-alukan.
Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman berkata, sebagai rakyat Sabah, beliau amat teruja dan bersedia untuk memberi sokongan penuh supaya perkara itu dibentangkan di Parlimen.
Beliau juga akan mengajak Ahli-ahli Parlimen lain untuk menyokong pembentangannya kerana perkara itu merupakan apa yang diperjuangkan rakyat Sabah dan Sarawak selama ini.
“Saya percaya rakan-rakan saya di sebelah sana dari Sabah dan Sarawak akan bersedia untuk menyokong usul ini selagi bertepatan dengan MA63 demi kemakmuran rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini malam ini.
Berhubung dengan pembayaran royalti minyak, Anifah berharap Kerajaan Persekutuan mengambil langkah sewajarnya untuk mengakui semangat perjanjian.
Katanya, selepas bersetuju perkara itu, perbincangan mengenai pembayarannya dapat diteruskan.
“Ini perlu dilakukan demi kebaikan rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Anifah berharap kerajaan dapat segera memulakan langkah untuk melaksanakan MA63. – UTUSAN ONLINE









