SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan dengan cadangan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan orang Islam lelaki dan wanita daripada 16 tahun kepada 18 tahun di negeri ini.
Sultan Sharafuddin bertitah, baginda memandang serius kes-kes melibatkan perkahwinan kanak-kanak Islam pada usia terlalu muda terutama kanak-kanak perempuan kerana bimbang tentang risiko kemudaratan yang bakal dihadapi pasangan tersebut dan kesannya kepada masyarakat.
“Oleh itu, beta telah menitahkan pihak MAIS dan JAIS untuk menyemak semula undang-undang dalam kalangan orang Islam yang sedia ada di negeri Selangor dan membuat cadangan penambahbaikan jika perlu.
“Beta berkenan dengan cadangan untuk menyelaraskan had umur minimum perkahwinan orang Islam lelaki dan perempuan di Selangor dengan menaikkan had minimum daripada 16 kepada 18 tahun,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-14 di Dewan Negeri Selangor di sini semalam.











