SKMM tidak pantau media sosial dan emel - Utusan Malaysia

SKMM tidak pantau media sosial dan emel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA 10 Sept. – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak pernah melakukan pemantauan secara besar-besaran terhadap mana-mana pengguna media sosial dan emel rakyat negara ini.

Pemangku Pengerusi SKMM, Datuk Dr. Mohd. Ali Mohammad Nor menjelaskan, sebarang penyiasatan berhubung muat naik status di media sosial akan dilakukan sekiranya menerima aduan atau permohonan daripada mana-mana agensi penguatkuasaan undang-undang.

“SKMM ingin menegaskan bahawa kerajaan menjamin soal kebebasan bersuara dan hak privasi seperti terkandung dalam undang-undang negara.

“Kita akan membantu sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berasa kecewa apabila ada pegawai kerajaan yang mendakwa baginda dan ayahandanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sedang ‘diperhatikan’ oleh pihak tertentu.

Dalam satu hantaran di Facebook, Tunku Ismail bertitah, baginda telah mendapat pesanan dari seorang pegawai kerajaan bahawa ramai wira siber telah diletakkan dalam Facebook rasmi baginda dan Sultan Ibrahim.

Titah Tunku Ismail lagi, baginda baru-baru ini turut dihampiri oleh seorang individu untuk membeli peralatan teknologi Israel yang digunakan untuk pengintipan serta mengumpul data. Peralatan tersebut didakwa turut dimiliki kerajaan terdahulu yang masih digunakan kini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN