KUALA LUMPUR 6 Sept. – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menguatkuasakan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) di 47 lokasi sehingga akhir tahun ini.
Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan, pengambilalihan oleh JPJ meliputi penguatkuasaan bagi operasi ke atas 45 buah kamera Awas yang terdiri daripada 29 kamera bagi kesalahan memandu melebihi had laju dan 16 buah kamera bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah.
Selain itu, kenyataan itu memaklumkan, pada masa yang sama terdapat dua lokasi lagi sedang dalam proses mendapatkan kelulusan pemasangan daripada pihak berkuasa tempatan iaitu satu lokasi bagi kesalahan memandu melebihi had laju dan satu lokasi bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah.
“Jadi secara keseluruhannya sehingga berakhir tahun ini, JPJ akan menguatkuasakan kesalahan Awas di 47 lokasi yang dinyatakan tadi.
“Orang ramai boleh menyemak senarai terkini lokasi kamera Awas di dalam laman web JPJ, www.jpj.gov.my selain boleh melakukan semakan saman-saman JPJ dan Awas,” kata kenyataan itu hari ini.
Kementerian Pengangkutan berkata, tujuan utama pemasangan dan penguatkuasaan kamera Awas itu adalah untuk mendidik dan menjaga keselamatan pemandu khususnya apabila mereka memandu di Zon Operasi Kamera Awas.
“Untuk pengetahuan semua, lokasi yang dikenal pasti ini adalah merupakan jalan-jalan yang mempunyai risiko tinggi berlakunya kemalangan jalan raya.
“Oleh itu, di setiap lokasi pemasangan dan operasi kamera-kamera Awas ini akan dipasang tiga papan tanda pemberitahuan Zon Operasi Kamera iaitu antara jarak satu kilometer (km), dua km hingga tiga km sebelum kamera,” katanya.
Kementerian Pengangkutan memaklumkan, pada masa sama kerajaan hanya akan mempertimbangkan untuk menambah lokasi pemasangan dan operasi kamera itu sekiranya terdapat keperluan.
Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan berkata, sejak bermulanya penguatkuasaan pada 1 September lalu seperti yang diumumkan JPJ telah memulakan operasi ke atas 45 buah kamera Awas.
“Tiada pengecualian atau pengurangan bayaran kompaun akan diberikan untuk saman-saman yang dikeluarkan bagi kesalahan Awas mulai 1 September,” katanya.











