Siemens sedia kembangkan tenaga RE - Utusan Malaysia

Siemens sedia kembangkan tenaga RE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Sept. – Siemens Malaysia Sdn. Bhd. bersedia untuk memperluas portfolio perniagaannya dalam tenaga boleh diperbaharui (RE) dengan menyediakan beberapa konsep yang sesuai dengan rancangan Malaysia bagi me­ningkatkan kecekapan tenaga boleh diperbaharui.

INDRANIL LAHIRI

Malaysia menya­sarkan untuk mempertingkat kecekapan tenaga boleh diperbaharui kepada 20 peratus daripada dua peratus pada masa ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia, Indranil Lahiri berkata, konglomerat Jerman itu akan menghasilkan penyelesaian bagi portfolio solar dan bersedia menyertai serta menyokong usaha tersebut apabila kerajaan mengumumkan projek tenaga boleh diperbaharui.

“Ia bergantung kepada kerajaan, apabila pihak kerajaan telah bersedia, begitu jugalah dengan kami,” katanya kepada Bernama ketika ditemui semasa Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik (CEPSI) 2018 di sini semalam.

Beliau berkata, Siemens te­lah melaksanakan pemprofilan terhadap Malaysia dan mendapati negara ini tidak sesuai bagi penggunaan turbin angin manakala bagi solar fotovoltan, terdapat beberapa cabaran termasuk isu tanah.

“Kita perlu mencari simpanan tanah yang berdaya maju dan saya berpendapat akan turut wujud tumpuan kepada biojisim, namun kita perlu menentukan sama ada kita mempunyai sumber biojisim atau sisa yang mapan.

“Kami masih menilai pelbagai konsep dan ia akan mengambil tempoh antara tiga hingga empat bulan sebelum me­ne­tapkan konsep yang jelas dan tepat dengan Malaysia.

“Bagaimanapun pada masa sama, kami masih mengutamakan turbin gas memandangkan ia seharusnya menjadi asas bagi gabungan penjanaan kuasa,” katanya.

Lahiri berkata, Siemens belum menawarkan portfolio solar di Malaysia kerana pihaknya mendapati tiada sebarang projek solar berskala besar di negara ini.

“Namun saya yakin kerajaan akan mewujudkan pengawal­seliaan dan dasar yang mendorong projek solar yang besar dan kami akan menemui kerajaan untuk (berbincang) mengenai penyelesaian tenaga boleh diperbaharu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN