Siapa olahragawan, olahragawati? - Utusan Malaysia

Siapa olahragawan, olahragawati?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 21 Sept. – Menjelang Sukan Malaysia (Sukma) 2018, yang bakal melabuh tirai esok, persaingan kini terarah kepada atlet-atlet yang bakal dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati temasya tersebut.

Persaingan status olahragawati dilihat paling sengit pada temasya kali ke-19 ini kerana kebanyakkan atlet berjaya menyerlah selain melakar keputusan yang cemerlang.

Antaranya daripada sukan gimrama, Rayna Hoh yang mewakili Wilayah Persekutuan dengan merangkul lima emas dalam kesemua acara yang di­sertainya pada temasya kali ini.

Selain itu, takhta tersebut turut dicabar atlet basikal Terengganu, Nur Aisyah Muhammad Zubir yang setakat ini sudah meraih empat emas dan dijangka mampu menambah jumlah pungutan pingat itu dalam acara basikal trek yang berlangsung di Velodrom Rakyat, esok.

Begitu juga dengan atlet olahraga Terengganu, Azreen Nabila Alias yang memenangi tiga emas dalam acara pecut 100 meter (m), 200m dan 4x100m, selain memecahkan rekod Sukma berusia 10 tahun bagi acara 100m dengan catatan 11.81 sekali gus meleburkan rekod milik Siti Fatima Mohamad 11.82s yang dilakukannya ketika temasya sama di Terengganu 2008.

Sementara itu, dalam pe­rebutan olahragawan, antara atlet yang dilihat berpontesi merangkul gelaran itu adalah daripada sukan renang iaitu perenang Johor, Tia’a Fang Der yang muncul atlet pertama memecah rekod kebangsaan di Sukma 2018.

Dia melakukan rekod itu, dalam acara 400m rampaian individu lelaki dengan catatan masa 4 minit 30.48 saat meleburkan rekod milik Sebastian Soon dari Wilayah Persekutuan yang mencatat masa 4:30.85 dilakukan Julai lalu di Sukan Sekolah-Sekolah Asean

Atlet terjun negara, Jellson Jabillin yang mewakili Sabah juga dilihat berpeluang mencabar gelaran itu apabila mengumpulkan dua emas menerusi acara 3m papan anjal dan 10m platform lelaki.

Di samping itu, raja pecut Sukma 2018, Muhammad Aqil Yasmin juga antara calon yang bakal membawa pulang gelaran itu selepas me­raih dua emas menerusi acara 100 dan 200m lelaki, malah turut memperbaharui rekod temasya bagi acara 200m de­ngan catatan masa 21.01s.

Rekod itu, telah memadam rekod milik raja pecut ASEAN, Khairul Hafiz Jantan dengan catatan masa 21.14 saat yang dilakukan di Sukma 2016.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN