KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shukri Abdull menemui Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin di Kuala Lumpur semalam dipercayai bagi membincangkan dakwaan berhubung transaksi jualan 91 plot tanah di ibu negara yang meragukan.
Shukri tiba di Menara IIham pada pukul 10.40 pagi dengan menaiki sebuah kereta Proton Perdana dan diiringi dua buah kenderaan jenis Proton Preve dan Subaru Forester.
Selepas kira-kira 45 minit, Shukri dilihat keluar dari pekarangan Menara Ilham. Bagaimanapun, beliau enggan bertemu pengamal media yang menunggu di pekarangan menara tersebut.
Kelmarin akhbar dan portal melaporkan Tun Daim akan bertemu SPRM susulan siasatan pihak beliau mendapati sekurang-kurangnya terdapat transaksi 91 plot tanah yang meragukan ketika di bawah pemerintah kerajaan terdahulu. Siasatan tersebut sudah dihantar ke SPRM.
Daim mendedahkan perkara itu ketika berucap pada satu majlis bersama penduduk Parlimen Titiwangsa pada Selasa lalu.









