AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim bersedia kembali menerajui Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) demi mengembalikan kegemilangan skuad Singa Utara yang kini berdepan kemelut tunggakan gaji berjumlah RM461,500 melibatkan 29 pemain.

Shahidan dengan nada tegas berkata, kemelut kewangan yang melanda pasukan Perlis bukan satu perkara baharu tetapi tiada pihak yang berjumpa dan berunding dengannya untuk mencari jalan penyelesaian.
“Ini sebenarnya merupakan manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri dan janji saya sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu untuk memulihkan kembali PFA.
“Saya bersedia untuk menerajui PFA, namun setakat ini tiada mana-mana pihak yang datang untuk mempelawa.
“Saya tidak boleh menonjol kerana takut nanti mereka (pengurusan PFA) kata pandai-pandai pula,” katanya ketika ditemui pemberita di Yayasan Pok Kassim, Kangar semalam.
Shahidan pernah menjadi Presiden PFA yang semasa kepimpinannya, Perlis berjaya menjuarai Piala Malaysia pada 2004 dan 2008.
Namun, kini pasukan Singa Utara itu beraksi dalam Kumpulan B Liga FAM.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, PFA telah menghantar surat rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai reaksi segera berhubung diarahkan menyelesaikan segera tunggakan gaji berjumlah RM461,500 melibatkan 29 pemain dalam tempoh sebulan.
Pemangku Presiden PFA, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan berkata, pihaknya akur berhubung tuntutan itu, namun beberapa perkara kritikal harus diselesaikan terlebih dahulu.
Jelas Mohd. Abdul Karim, PFA akan mengadakan Kongres Luar Biasa pada 29 September ini sebagai mekanisme untuk memilih kepimpinan baharu selain mencari jalan menyelesaikan gaji pemain yang tertunggak.










